UMNO Labuan Perkukuh Ukhwah, Rapatkan Saf Menjelang PRU15

LABUAN, 21 Mac – UMNO Bahagian Labuan akan memperkukuh ukhuwah dan merapatkan barisan saf sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya Senator Datuk Bashir Alias berkata pihaknya akan merangka strategi di semua peringkat sayap parti itu bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

“Ucapan dasar Presiden UMNO sedikit sebanyak membayangkan PRU15 akan diadakan pada tahun ini.

“Bagi membuktikan kesamaan dalam perjuangan parti…UMNO Labuan akan bersama pucuk pimpinan parti dalam melakukan kesiapsiagaan PRU,” katanya.

Bashir mengetuai 15 perwakilan UMNO Labuan ke Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang berakhir semalam.

UMNO Labuan membawa lima usul pada perhimpunan agung kali ini dengan matlamat utama mahu melihat kestabilan politik negara dan kesaksamaan perjuangan parti.

Beliau berkata kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor memperlihatkan kebangkitan dan sokongan rakyat terhadap BN.

“Apa yang penting kita dalam UMNO harus memastikan imej dan nama baik UMNO terpelihara dan tidak dicemari dengan anasir yang boleh membawa kepada kejatuhan parti,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.