Politik Negara Stabil, Lebih Banyak Pelaburan Akan Masuk Ke Malaysia – PM

HANOI, 21 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata politik di Malaysia adalah stabil ketika ini dan beliau yakin lebih banyak pelaburan luar akan memasuki negara.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan, Ismail Sabri berkata buat julung kalinya pembangkang dan kerajaan boleh duduk bersama untuk berbincang isu berkaitan negara.

Beliau berkata berikutan memorandum persefahaman yang ditandatangani antara kerajaan dengan pembangkang, walaupun terdapat perbezaan pandangan pembangkang tidak terlalu emosional dan mereka menyokong kerajaan dalam sidang Parlimen.

“Keadaan politik stabil ketika ini, sebab itu kita yakin lebih banyak pelaburan luar akan masuk ke Malaysia, cuma ramai yang minta diadakan pilihan raya lebih awal. Kita risau juga jika pilihan raya lebih awal, kestabilan mungkin tidak dapat dikekalkan.

“Alhamdulillah, politik kita stabil. Bolehlah balik Malaysia,” katanya dalam nada bergurau yang disambut ketawa kecil para hadirin.

Ismail Sabri berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama Keluarga Malaysia di sini sempena lawatan rasmi beliau ke Vietnam selama dua hari bermula semalam.

Menjelaskan perkara itu, Perdana Menteri memberi contoh pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

“Pindaan Perlembagaan bukan seperti rang undang-undang lain yang hanya perlukan majoriti mudah …untuk pindaan Perlembagaan, mesti dapat dua pertiga majoriti dan undi ini secara individu bukan lebih suara… jadi, keadaan politik adalah stabil,” katanya.

Beliau tiba di sini pada 1.45 tengah hari waktu tempatan dan lawatan rasmi sulungnya sebagai Perdana Menteri Malaysia adalah atas jemputan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.