Kerajaan Bangunkan Strategi Hasil Jangka Sederhana Untuk Tambah Baik Asas Hasil

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Kerajaan sedang membangunkan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan melaksanakan Semakan Semula Perbelanjaan Awam bagi menambah baik asas hasil dan memastikan kecekapan perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata pelaksanaan langkah-langkah tersebut mampu mengukuhkan kembali kedudukan kewangan demi memastikan kemampanan keberhutangan kerajaan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Pada masa ini, kerajaan mengguna pakai Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana sebagai panduan dalam menggubal strategi ke arah konsolidasi fiskal jangka sederhana untuk jangka masa tiga hingga lima tahun yang selari dengan pelan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12.
Shahar Abdullah
“Di samping itu, penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal dijangka dapat mengukuhkan tadbir urus, ketelusan pengurusan kewangan awam dan disiplin fiskal kerajaan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketikam menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian-BN) mengenai keadaan fiskal negara.

Mohd Shahar berkata sehingga akhir Disember 2021, hutang keseluruhan kerajaan Persekutuan berjumlah RM979.8 bilion atau 63.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala nisbah hutang statutori kerajaan Persekutuan yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) mencatatkan 59.7 peratus daripada KDNK.

Beliau berkata sementara itu, penyediaan nilai pengeluaran berjumlah RM63 bilion Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memberi kesan terhadap kemampuan pelaburan KWSP dalam jangka masa pendek.

KWSP akan mengimbangi semula portfolio bagi mengurangkan kesan kepada prestasi pelaburan dan sentiasa komited untuk memastikan dana persaraan ahlinya terjamin, katanya.

“Keputusan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran RM10,000 secara ‘one-off’ akan memberi manfaat kepada 6.3 juta ahli. Ini bermakna sebanyak RM63 bilion ringgit akan disalurkan. Sudah pasti kuasa membeli rakyat akan meningkat dan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena-PH) mengenai kesan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.