Keseragaman UMNO Mimpi Ngeri Buat Pihak Mahu Lihat Berpecah Belah – Razlan

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata kesatuan yang terpancul pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 merupakan satu mimpi kepada mereka di luar sana yang mahu melihat UMNO berpecah.

Tegas beliau hakikat berkenaan menjelaskan kepada masyarakat umum serta ahli parti bahawa kesepaduan serta kesepakatan dalam UMNO tetap utuh di kala pelbagai suara sumbang melemparkan pelbagai andaian dan sebagainya.

“Ini adalah mimpi ngeri kepada pihak di luar sana yang mahu melihat kepada perpecahan dalam UMNO. Saya ada terbaca beberapa berita di luar sana kononnya kita ada perpecahan… namun apabila kita melihat semangat pimpinan tadi ianya menunjukkan satu kematangan politik dan inilah yang ditunggu-tunggu oleh akar umbi.

“Paling penting dengan kesatuan kita ini, sudah pasti akan memberikan mimpi ngeri kepada pihak pembangkang serta pihak-pihak yang mahu menganggu gugat kestabilan orang-orang UMNO,” katanya kepada UMNO-Online.

Razlan seterusnya melahirkan rasa syukur Perhimpunan Agung UMNO berakhir dengan semangat ukhuwah yang cukup tinggi dan memperlihatkan setiakawan serta keseragaman di pelbagai peringkat kepimpinan.

“Satu semangat yang perlu dibawa balik ke tempat masing-masing bahawasanya kita akan melakukan pilihan raya dalam masa terdekat dan selepas itu baru kita fokus kepada pemilihan parti, dan ini adalah satu kesefahaman.

“Inilah juga yang kita mahu termasuk semangat tidak ada pecah-belah, walaupun ada cubaan untuk memecah belahkan kita, namun Alhamdulillah kita mampu melaksanakan PAU dengan cukup semangat setiakawan, ukhuwah yang kuat dan saya rasa tidak akan ada mana-mana pihak yang mampu mengangu -ugat kita, insha-Allah,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.