Undi 18: Menteri KBS, KPM Tidak Kompeten, Gagal Dekati Pengundi Muda – UMNOSiswa

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Pembahas mewakili Mahasiswa UMNO Malaysia, Wan Muhammad Zuhir Ghazali berharap kerajaan serius dalam merangka polisi mendekati golongan muda mengenai kepentingan menunaikan hak mengundi dalam pilihan raya.

Katanya, kementerian berkaitan perlu melakukan langkah drastik dalam merangka strategi ini bagi memastikan anak muda tahu berkenaan tanggungjawab mereka kepada negara.

“Mana Menteri Belia dan Sukan? Mana Menteri Pendidikan? Mereka ini yang patutnya rangka polisi untuk mendidik, memberi kesedaran kepada orang muda dan pelajar mengenai undi 18. Kalau tak boleh buat kerja, tak ada idea, letak jawatan, jangan sekadar jadi menteri kerana ugutan undi.

“… kerana ramai daripada mereka ini tidak pun turun untuk mengundi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tak tahu pun mereka boleh mengundi, tidak tahu mengundi di mana dan ramai yang tak tahu kenapa mereka perlu mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengambil bahagian sebagai pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini.

Menurut Wan Muhammad lagi, melihat kepada situasi ini ia jelas menunjukkan bahawa barisan menteri daripada parti lain tidak kompeten dalam melakukan tadbir urus kementerian.

Katanya, apatah lagi mereka juga sebelum ini merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) yang secara jelas gagal dalam melaksanakan manifesto seperti yang ditawarkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Ini sangat berbeza dengan menteri-menteri parti lain yang ada dalam kerajaan sekarang. Kita tengoklah, dulu bukan main janji untuk bantu pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi, permudahkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke arah pendidikan percuma.

“… tapi hari ini orang yang tulis manifesto PH dengan janji-janji tersebut berada dalam kerajaan. Jadi pengerusi PTPTN pulak tu. Tapi tengok apa dia buat selain tiap-tiap bulan cucuk mesin pengeluaran wang automatik (ATM) ambil gaji? Dulu zaman Barisan Nasional (BN), dapat CGPA 3.7 boleh terus tukar kepada biasiswa, kalau tak mampu bayar boleh datang bincang untuk tengok-tengok berapa bayaran yang mampu dibayar.

“Namun, semua inisiatif-inisiatif itu banyak yang dah tiada. Nasib baiklah, kita ada Menteri Pengajian Tinggi dari UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang bantu buat moratorium untuk pembayaran balik PTPTN ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Berbalik pada undi 18, beliau berkata PH sebelum ini juga kononnya beria-ia berjuang mempertahankan hak anak muda untuk mengundi.

“Kononnya mereka paling berjuang kepada undi orang muda. Namun, bila BN dah sokong untuk luluskan, undi 18 bukan idea dah, malah dah dilaksanakan. Tapi tengok, apa jadi pada generasi saya, kenapa mereka tinggalkan generasi kami ini?

“Sebab itu, kita perlukan mandat penuh rakyat, kita perlukan kuasa penuh untuk kita jalankan tanggungjawab kita kepada rakyat,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.