Persediaan Jentera BN Perlu Diutamakan Sebelum PRU15 – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata persediaan jentera Barisan Nasional (BN) perlu menjadi keutamaan sebelum berhadapan Pillihan Raya Umum (PRU) ke-15

Katanya PRU ke-15 merupakan peperangan besar dalam politik selepas kekalahan BN pada PRU-ke 14.

“Sama ada cepat atau lambat PRU tetap akan berlaku, perkara pokok yang menjadi keutamaan kita ialah tahap kesiapsagaan jentera PRU, bukan seperti berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) semua jentera berkumpul di satu kawasan , PRU pula lebih berskala besar memerlukan persediaan yang lebih terperinci bagi memastikan UMNO/BN kembali mendapat mandat rakyat,” katanya ketika ditemui di sini kemarin

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden, DaTUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akur kepada pilihan akar umbi dimana sebanyak 186 bahagian daripada 190 bahagian yang telah bermesyuarat bersetuju agar pemilihan parti diadakan selepas PRU.

Zahid dalam ucapan dasarnya berkata keputusan tersebut bukan keputusan beliau sendiri ianya diputuskan oleh akar umbi dalam mesyuarat bahagian masing-masing dan sudah menjadi kelaziman sebelum ini bahawa pemilihan parti diadakan selepas PRU yang sudah bertahun-tahun ia diamalkan.

“Adakah wajar kita mengubah tradisi ini? Janganlah kita memakai kasut sebelum menyarung stoking,” jelas Zahid.

Menurut Bung Moktar, mesej Zahid dalam ucapan dasar tersebut jelas agar jentera BN di semua peringkat perlu memperkukuhkan jentera parti ,gerak kerja yang tersusun dan rapi bagi memastikan kemenangan BN pada PRU ke-15.

Jelas Bung Moktar misi utama sekarang ialah memastikan kemenangan BN dalam PRU ke-15 bagi mengemudi pentadbiran negara selepas kegagalan dua kerajaan sebelum ini iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang gagal menwujudkan kestabilan politik ekonomi Negara.
“Jika kita mengadakan pemilihan parti sebelum PRU ke-15 kita bimbang akan berlaku perpecahan dalaman parti sehingga menjejaskan persediaan dan tumpuan untuk untuk menghadapi PRU,” katanya.

Bung Moktar berkata buat masa ini perkara terbaik yang perlu dilakukan adalah meneliti semua perkara berkaitan termasuk sentiman rakyat.

“Sekiranya kita (BN) sudah bersedia, PRU boleh disegarakan… bila tarikhnya terserah kepada budi bicara Perdana Menteri setelah berunding secara dalam bersama dalam MKT untuk PM meminta perkenan Yang di pertua Agong,” katanya.

Mengenai penjenamaan dan penstrukturan BN bagi menghadapi PRU ke-15, Bung Moktar berkata ianya satu pendekatan bijak dengan memberikan tawaran yang lebih komprehensif kepada rakyat selaras dengan perkembangan semasa.

“Saya bersetuju dalam memasarkan jenama BN, kita perlu membuka ruang kepada lebih ramai anak muda untuk menyertai gelanggang politik. Ini kerana kita perlu akui dalam PRU ke-15 kita akan berhadapan dengan pengundi 18 tahun, jadi pendekatan kita perlu memenuhi aspirasi golongan ini agar mereka bersama BN,” katanya. – UMNO Online