Pemuda UMNO Jelaskan Kenapa Pemilihan Parti Perlu Dibuat Selepas PRU-15

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Pemuda UMNO mengambil ketetapan supaya pemilihan parti hanya diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), ujar wakilnya, Dr Muhammad Akmal Saleh.

Kata Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Melaka itu, perkara utama sekarang adalah survival parti untuk memenangi PRU dan tidak mahu ketika menghadapinya UMNO berada di dalam keadaan lemah kesan daripada pemilihan parti yang pasti akan wujud bibit-bibit perpecahan serta faktor tahap kesiapsiagaan jentera parti yang baharu.

“Maka, Pemuda UMNO hari mengusulkan agar perlembagaan dipinda supaya pemilihan parti diadakan setiap kali selepas pilihan raya umum. Sebab matlamat kita adalah untuk menang pilihan raya. Manakan mungkin nak menang pilihan raya dengan parti yang lemah kerana bergaduh sama sendiri dalam pemilihan.

“Kalau MCA dah pinda, parti-parti di Sarawak dah buat, kenapa kita tidak boleh buat? Sebab apa? Kita selalu kata kestabilan..mana mungkin kita nak capai sebuah kerajaan yang stabil jika parti kita tidak stabil dari segi politiknya.

“Kestabilan politik di dalam parti mesti dicapai barulah boleh beri keyakinan yang hebat kepada rakyat bahawa kita boleh membentuk sebuah kerajaan yang stabil. Kita kena buktikan kepada parti kita dahulu,” katanya ketika membahas Usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kesiapsiagaan jentera, Dr Akmal mengambil contoh bagi sayap Pemuda.

“Mengenai Pemuda, jika berlaku pemilihan daripada 191 bahagian, 114 Ketua Pemuda Bahagian tidak boleh lagi dipilih sebagai ketua pemuda sebab habis umur. Belum lagi jumlah naib ketua pemuda, ahli jawatankuasa pemuda bahagian.

“Bayangkan sebuah pasukan yang telah dibina sejak 2018 yang penuh dengan pengalaman dan latihan ini yang terbukti di pilihan raya Johor dan Melaka akhirnya kita telah kehilangan 60 peratus jentera Pemuda.

“Bukan saya nak kata jika ada pemilihan orang yang baru tak bagus…bagus… tetapi kita terpaksa latih sekali lagi. jadi adakah kita mempunyai masa untuk melatih mereka ini menjadi jentera parti,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu lagi.

Begitu juga katanya dengan beberapa pihak yang dahulu menolak dan menjauhkan diri dari UMNO ketika menjadi pembangkang dan kini mendesak diadakan pemilihan parti untuk merebut jawatan perlu ditolak atas sikap kepentingan peribadi mereka.

‘Cukup-cukuplah memecah-belahkan di antara kita. Adakah jika berlaku pemilihan parti, pertembungan ia akan menyatu padukan kita atau memecah-belahkan kita? Kita pun tahun pilihan raya umum yang hampir tiba.

“Adakah ada jaminan pada ketika kita berpecah-belah semasa dibuat pemilihan parti tiba-tiba ‘kawan’ dalam kerajaan tarik ‘hand brake’. Kalau kita bertelagah sama sendiri mereka nampak ini peluang terbaik. Nak hadapi pilihan raya ketika kita berpecah? Adakah kita hendak hadapi peperangan ketika parti kita sedang lemah? Tepuk dada tanyalah iman,” gesanya lagi.

Dalam ucapannya juga, Dr Akmal menyentuh mengenai proses peremajaan parti yang ternyata telah dibuktikan oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan memberi peluang kepada ramai calon dari kalangan anak-anak muda menjadi wakil parti di dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

Dr Akmal turut memuji bekas Presiden Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerana tidak memanipulasi ahli parti heret ke jalanan apabila diasak dengan pendakwaan berpilih oleh kerajaan sebelum ini seperti pimpinan parti lawan.

Exco Kerajaan Negeri Melaka itu juga berterima kasih kepada Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah meluluskan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 beberapa hari lalu. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.