Keputusan Parti Hari Ini Akan Diambil Tindakan Segera – Mohamad

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan besar yang dipersetujui perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2021 akan diambil tindakan selanjutnya untuk dilaksanakan.

Menurut beliau usul agar pemilihan parti ditangguhkan enam bulan selepas pilihan raya umum atau pun dalam jangka waktu enam bulan adalah satu keputusan besar yang dicapai hari ini.

“Ucapan dasar ini telah dicadang oleh Melaka dan disokong okeh Kedah. Kita semua setuju tadi apabila Pengerusi Tetap bertanyakan samaada setuju sebulat suara dan ramai bersetuju meluluskan ucapan dasar ini.

“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan, saya perlu mengambil tindakan selepas ini untuk memastikan apa yang diputuskan hari ini akan digerakan dan akan diambil tindakan.

“Saya minta PM, Datuk Seri Ismail Sabri tolong perhatikan sedikit apabila kita tulis surat kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS)… jangan pula ada nanti orang yang menghalang keputusan parti kita kerana menterinya bukan daripada UMNO. Tahu sahajalah… susah kita nanti,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2021, di sini hari ini.

Mohamad seterusnya menambah jika perkara tersebut dapat diuluskan maka apa yang telah menjadi sebagai perkara yang hangat dibincangkan mutakhir ini oleh orang-orang UMNO telah selesai.

“Sejarah menunjukkan jelas setiap kali ada pemilihan parti perpecahan memang berlaku. Kita jangan menidakkan ini dan kita tidak mahu dalam keadaan parti kita yang dah baik, bergeseran antara satu sama lain berpecah dan menghadapi pilihan raya,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membuat beberapa pengumuman pada sesi penggulungan.

“Alhamdulillah saya tak perlu cakap banyak tetapi nak ucap berbanyak terima kasih kepada YAB atas pengumuman-pengumuman beliau tadi. Inilah cantiknya dan inilah yang kita hendak bahawa pentadbir negara ini UMNO mesti menjadi terajunya. Ini yang saya cakapkan pada tahun lepas, selagi UMNO tidak jadi peneraju negara, kita tidak boleh nampak kebaikan….

“Alhamdulillah buat pada 1 Mei atau secepat mungkin orang dah seronok dengan kita… ‘top 5’ bincang bila pula pilihan raya. Jangan kita tunggu lama-lama. Sebagai pemimpin yang telah berjanji untuk terus capai persefahaman dengan pihak pembangkang sehingga bulan tujuh, kita lanjutkan sampai bulan tujuh.

“Selepas itu kita berbincang dan biarlah kami berlima berbincang bukan macam kedai kopi… susah nanti… rosak sup kita. Seorang nak banyak garam lama-lama kita pening kepala. Kami berlima selalu duduk dan kami tidak tunjukkan,” ujarnya.

Ujarnya lagi pertemuan dan perjumpaan sering diadakan antara kepimpinan ‘top 5’ namun ianya tidak didedahkan secara meluas.

“Kami selalu berbincang dan tidak terangkan kepada orang lain kerana bagi kami itu perundingan. Kerana kata adat berunding dalam gelap. Selepas ini nampaknya Datuk Seri Presiden, setiap kali kita berjumpa, setiap kali kita berunding keluar kat Facebook supaya orang tahu kita berlima ini sebenarnya rapat dan bersama-sama untuk menguruskan parti.”

Tegasnya, perpaduan dalam parti panting dan jangan kita berpecah-belah.

“Tidak guna jadi presiden, tidak guna jadi timbalan presiden, atau pun apa jua parti jika kita kalah dalam pilihan raya. Yang penting kita menang dan kita akan dapat rasa nikmatnya berkhidmat untuk rakyat menjadi pentadbir sebagai kerajaan.

“Kita dah rasa macammana selama 22 bulan… macammana terhinanya kita dan tidak lain tidak bukan kalau kita berpecah dan baru semalam disebutkan oleh Tun Mahathir bahawa mereka akan cuba bergabung bersama-sama parti pembangkang.

“Jangan kita tunggu lama… sampai mereka bergabung susah juga kita. dalam politik semua boleh jadi. Maka itu eloklah kami berlima nanti tengok macam mana.Kami berlima akan pastikan bagaimana UMNO terus menerajui negara,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.