Ucapan Dasar Presiden Mengemudi Parti Ke Arah Pembaharuan, Raih Mandat Rakyat – Shahril

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan mengucapkan tahniah kepada Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas Ucapan Dasar Presiden di dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pagi tadi yang telah menggariskan beberapa perkara yang perlu dilengkapkan ke arah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU.

Mengulas mengenai, Shahril berkata Ahmad Zahid menegaskan UMNO perlu mengemudi pembaharuan di dalam meraih mandat rakyat.

“Seperti yang dibahaskan oleh ramai perwakilan semalam, kita perlu tawarkan ‘new deal’ kepada pengundi.

“Lima daya yang diumumkan oleh Datuk Seri Presiden akan menjadi garis panduan untuk kita melengkapkan tawaran,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Di dalam Ucapan Dasar Presiden bertajuk ‘UMNO: Mandat Rakyat Demi Kestabilan’, Ahmad Zahid menampilkan lima daya sebagai agenda UMNO dalam melestarikan politik tanah air.

Teras pertama ialah pemulihan ekonomi seperti meningkatkan kuasa beli rakyat dengan pelaksanaan segera gaji minimum RM1,500 dan mengkaji semula pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar yang berpatutan dan tidak membebankan rakyat.

Teras kedua pula peluang pekerjaan termasuk mewujudkan jawatankuasa khas hal ehwal pekerjaan negara melibatkan anak-anak muda dan teras ketiga melahirkan lebih ramai usahawan berwibawa antaranya mempermudahkan proses pinjaman kredit kepada usahawan baharu dengan melonggarkan syarat-syarat pinjaman.

Teras keempat meneruskan agenda integrasi pendidikan supaya soal duniawi dan ukhrawi bergerak seiring manakala teras kelima pula adalah reformasi agenda rakyat satu keperluan agar keyakinan rakyat kepada kerajaan dapat dipulihkan seperti undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti, undang-undang Pendanaan Parti Politik dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kes-kes yang berkait dengan kepentingan rakyat.

Mengulas lanjut, Shahril bersetuju dengan Presiden yang mengajak semua dalam parti untuk membulatkan tekad, mengenepikan segala sengketa dan bersatu hati dalam menghadapi lawan.

“Tiada kabilah, kluster, atau puak. Yang ada hanyalah keluarga besar UMNO.

“Dalam ucapan tadi, jelas mesej keharmonian yang dibawa oleh Presiden. Ayat beliau sendiri, “Kini wakil kita menjadi teraju kerajaan. YAB Datuk Seri Ismail Sabri, jagalah kerajaan elok-elok, kita bagi dukungan kepada Yang Amat Berhormat. Insya-Allah, saya dan Tok Mat dan rakan-rakan lain, kita akan jaga parti. Kami akan perkuatkan parti dan Yang Amat Berhormat kuatkan kerajaan kerana kita harus seiring dan sejalan”,” petiknya lagi.

Seterusnya, Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berharap agar intipati Ucapan Dasar Presiden itu menjadi pembuka tirai yang baik kepada PAU ini.

Begitu juga katanya dengan segala perbahasan dari perwakilan menjadi penguat semangat demi perjuangan agama, bangsa, dan Malaysia tercinta. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.