PRU15 Wajar Diadakan Sebelum Pemilihan Parti – Latipah

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Pembahas mewakili Wanita UMNO Malaysia, Datuk Latipah Omar bersetuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera melihat kepada senario politik negara.

Katanya, mendepani situasi itu juga penyatuan dalam kalangan ahli parti adalah penting bagi memastikan keputusan yang dicapai berpihak kepada parti keramat ini.

“Saya setuju 100 peratus PRU15 dibuat dahulu sebelum pemilihan parti kerana momentum pada waktu ini paling tepat untuk kita mengadakan segera pilihan raya.

“…harap ianya diadakan segera, oleh itu permintaan dari saya untuk kita semua bersatu dalam setiap keadaan supaya kita dapat terus mencapai kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini.

Latipah yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka juga berharap kepimpinan parti tidak hanya fokus untuk mengetengahkan golongan muda sahaja.

Jelas beliau, ini kerana Wanita daripada pelbagai lapisan umur juga mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri termasuk dari segi pengalaman.

“Kena ingat yang di atas pandanglah yang di bawah jika asyik pandang pucuk muda pastikan juga jangan dilupa pucuk tua kerana tidak ada tua tidak ada muda.

“Jangan dibuang pucuk yang tua kerana liat yang tua tahan lama mesti ada kesinambungan… maknanya hari ini kita lihat memang tidak dapat dinafikan dalam kalangan semua ketua-ketua Wanita Bahagian ada yang sudah berumur.

“Namun berumurnya mereka ini tetap juga meneruskan kerja dengan semangat yang begitu tinggi dan mendapat kemenangan di kedua-dua buah negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor,” ujar beliau.

Dikesempatan ini juga Latipah turut menyeru Wanita UMNO untuk memperbaiki segala gerak kerja bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kembali kukuh seperti yang dicapai sepanjang 60 tahun lalu.

“Saya harap Wanita balik dari persidangan ke kawasan masing-masing perbaiki mana yang patut tampal mana yang berlubang supaya kita dapat mengekalkan BN semasa seperti yang sebelum ini,” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.