Perkukuhkan Jentera Kuatkan Parti Proses Berterusan, Jangan Dibuai Kemenangan PRN

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Jalaluddin Alias berpandangan proses untuk memperkukuhkan jentera dan menguatkan parti adalah satu proses yang berterusan dan tidak boleh berhenti.

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu, proses pengukuhan parti akan gagal jika ada pihak yang menimbulkan bibit-bibit pertelingkahan dan perpecahan di dalam keluarga besar UMNO ini.

“Segala strategi, kepakaran dan peluru yang kita ada harus kita gunakan untuk menjatuhkan pihak lawan, bukan menjatuhkan sesama Keluarga UMNO sendiri.

“Dalam usia UMNO yang hampir mencecah 76 tahun, UMNO sudah menjadi parti yang cukup matang dan arif dengan selok belok politik negara.

“Kematangan ini haruslah dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi menarik minat golongan muda untuk bersama-sama memainkan peranan dalam parti dan negara,” katanya itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu seterusnya bersyukur kerana majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada pagi tadi berjalan lancar serta Keluarga Besar UMNO dapat berkumpul bersama-sama seolah seperti ‘Hari Raya’.

“Saya mendengar dengan teliti Ucapan Dasar yang disampaikan oleh Presiden UMNO sebentar tadi. Syukur ke hadrat Allah, PAU kali ini terasa kemanisan dan kegembiraannya kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Ini semua adalah hasil kerja keras semua pihak, dari pucuk pimpinan tertinggi sehinggalah ke akar umbi. Kemenangan demi kemenangan yang dikecapi dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan negeri ini adalah satu titik tolak dan pencetus kepada kebangkitan UMNO pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” katanya sambil berpesan kepada semua ahli parti agar tidak leka dan hanyut dibuai kemenangan tersebut.

Ulasnya lagi, UMNO perlu kekal relevan untuk masa yang akan datang dan perkara ini hanya akan dapat dicapai jika dibuka ruang yang seluas-luasnya kepada anak muda.

“Keterbukaan UMNO ini kita dapat lihat dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor. Kombinasi antara pemimpin berpengalaman dan pemimpin muda menjadi satu resipi yang boleh dikatakan ‘menjadi’.

“Kita mungkin tidak punya terlalu banyak masa sebelum kita berhadapan dengan ‘peperangan’ sebenar pada PRU-15 nanti,” kata Ketua UMNO Bahagian Jelebu itu lagi.

Begitu juga Jalaluddin menasihati dirinya dan juga semua kepimpinan parti sama ada di peringkat tertinggi atau di akar umbi agar manfaatkan masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya.

“Jika selama ini sudah bekerja untuk rakyat, lipat gandakan lagi kerja. Jika sebelum ini kurang bertemu rakyat, santuni mereka. Jika sebelum ini banyak yang bergerak secara sendiri, rapatkan saf, bergerak bersama-sama dengan semua ahli parti.

“Insya-Allah saya yakin dan percaya, rakyat sudah dapat menilai mana intan dan mana kaca. Rakyat dapat melihat keikhlasan UMNO untuk membela nasib dan bersama-sama dengan mereka.

“Kita ambil roh semangat perjuangan asal UMNO sewaktu ditubuhkan dahulu, dan kita resapi dengan semangat kebangkitan UMNO hari ini. Insya-Allah, UMNO akan terus Bersatu, Bersetia, Berkhidmat demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.