Manfaatkan Media Sosial, Urus ‘Managing Perception’ Kembali Perkasakan UMNO – Wakil Kedah

KUALA LUMPUR, 18 Mac – UMNO diharap dapat terus memanfaatkan media sosial selain terus diperkasakan dalam usaha memastikan parti mendapat kepercayaan dan keyakinan daripada rakyat khususnya dalam menguruskan persepsi masyarakat terhadap parti berkenaan.

Pembahas menyokong usul ucapan dasar presiden UMNO, Datuk Othman Aziz berkata langkah itu amat penting agar pelbagai persepsi yang berlegar terhadap parti berkenaan dapat dihalang.

“Perkemaskan media sosial dan harapkan ianya dapat menguruskan persepsi masyarakat… ‘managing perception’. Saya nak mintalah dan sebagai contoh carilah ruang terbaik ‘snap’ gambar senyum riang pimpinan tertinggi kita untuk memberi gambaran terbaik di mata rakyat.

“Elakkan gambaran negatif di mata masyarakat yang boleh membawa tafsiran pelbagai pada mereka. Kita kena ingat menguruskan pilihan raya bukan sahaja dengan ahli UMNO tetapi melibatkan mereka yang tidak ada parti.

“Perkasakan jentera siber… kita boleh menyiarkan kembali ketika negara berada di bawah PH (Pakatan Harapan)… apa yang mereka buat selama itu terhadap Tabung Haji, Petronas dan sebagainya. Jadi kita kena ingatkan kembali kepada rakyat. Ulang balik dan ingatkan balik jika silap membuat pilihan sekali lagi apa kesannya kepada negara,” katanya.

Othman seterusnya menambah apabila bercakap soal politik UMNO dan Barisan Nasional (BN), rakyat dilihat sudah mula terasa kehilangan parti berkenaan sejak dua tiga tahun yang lalu dan hari ini mereka masih yakin dengan parti berkenaan.

Jelasnya, ini diterjemahkan dengan kepercayaan yang diberikan rakyat kepada BN di Melaka dan Johor.

“Sepertimana yang disebutkan oleh presiden pagi tadi, apapun parti perlu diperkasakan dan begitu juga kerajaan yang ianya perlu berjalan seiring supaya rakyat lebih yakin dengan kita,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.