Imbas Kembali Lakonan PH ‘Selamatkan Malaysia’ dan Kegagalan PN Tadbir Negara

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Pembahas mewakili Perlis, Saiful Daniel Mohd Yusof mengembalikan kembali momen tragis yang pernah berlaku kepada rakyat dan negara iaitu ketika ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) suatu ketika dahulu.

Katanya, pelbagai kekacauan telah berlaku ketika itu dek kerana janji manis PH yang menggunakan gagasan ‘Selamatkan Malaysia’ di sebalik melahirkan cerita-cerita dogeng dan penuh fantasi dalam manifesto mereka.

“Hasilnya rakyat mula menderita dan nasib mereka tidak terbela. Bayangkanlah sepanjang 22 bulan memerintah, tidak pernah berlaku dalam sejarah kita keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sering dijadikan bahan cabaran atau perdebatan.

“Kedudukan Raja-raja dikritik dan dipersoalkan atas nama hak asasi manusia dan kesamarataan.

“Sejarah negara dibakul sampahkan dan ini menghiris hati dan perasaan pejuang kemerdekaan, pejuang Islam, pejuang menentang komunis, pejuang bangsa, pejuang bahasa dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini.

Jelas beliau begitu juga sepanjang 17 bulan pentadbiran di bawah Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan penderitaan rakyat tidak juga pudar malah menjadi-jadi sehinggakan tampok pemerintahan negara bertukar buat kali ketiga.

“Kesannya, negara semakin tidak stabil dan rakyat semakin menderita dan dibebani dengan isu-isu ekonomi. Antaranya Harga barang naik, ekonomi lembap, Pelaburan Langsung Asing (FDI) menjadi rendah.

“Hutang negara juga meningkat dalam tempoh singkat, nilai matawang tidak stabil; pertambahan perbelanjaan kerajaan, peningkatan defisit fiskal, hasil negara (revenue) tidak berkembang dan pengangguran dalam kalangan orang muda,” tegas Saiful yang bertindak sebagai pembahas keempat bagi sesi petang.

Beliau menambah permasalahan ini sudah tentu memberikan kesan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika ini mengemudi kerajaan.

“Bayangkan jika isu pengangguran di kalangan orang muda ini tidak dibendung?

“… dan dalam masa yang sama kita berhadapan dengan 5.8 juta pengundi automatik dan 18 tahun ke atas. Pasti UMNO akan dipersalahkan,” tegas beliau.

Mendepani perkara ini katanya sumbangan paling besar boleh dilakukan adalah bersama-sama rakyat, mendapatkan semula mandat untuk memilih kerajaan baharu dan stabil serta negara yang lebih makmur.

Ujar beliau, momentum kestabilan yang amat dirindui rakyat sekarang ini harus diteruskan namun penolakan pengaruh PH dan PN juga tidak boleh dipandang mudah.

“Untuk itu, mahu tidak mahu, marilah kita bersama-sama menyelami dan merasai denyutan nadi rakyat. Denyutan untuk melihat perubahan.

“Denyutan untuk kestabilan Malaysia. Denyutan untuk masa depan bangsa,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.