Perwakilan Sayap Mahu Pimpinan UMNO Capai Kata Sepakat Tentukan Pelaksanaan PRU15

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Kepimpinan tertinggi UMNO perlu segera mencari kata sepakat dalam menentukan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara berkaitan PRU dibangkitkan beberapa perwakilan sayap ketika membahaskan usul bagi sayap masing-masing di Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini hari ini.

Ada perwakilan menyifatkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka tidak boleh dijadikan ukuran kerana seluruh jentera UMNO digembleng ke negeri-negeri itu.

Malah mereka meminta semua pihak supaya menyerahkannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kepemimpinan tertinggi UMNO untuk berbincang sebelum dipersembah dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Wanita Bahagian Bagan Serai Zarina Abdol Majid berkata dalam PRU, tidak mungkin ada jentera parti dari negeri lain yang akan datang membantu kecuali ahli parti di kawasan atau negeri sendiri.

“Jangan kita ulangi perangai lama. Kekalahan PRU14 seharusnya dijadikan iktibar. Janganlah kita leka bermusuhan dan berpuak-puak sesama sendiri, umpama menghalakan senjata ke kubu sendiri.

“Tidak perlu kita membuka segala strategi kita berkaitan tarikh PRU kerana akan diketahui pihak musuh yang akan menggunakan peluang mengatur strategi mereka pula,” katanya.

Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata ruang perlu diberi kepada ‘Top 5’ – Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden untuk berbincang dalam apa jua hal melibatkan kepentingan UMNO dan sebarang keputusan akan disokong oleh akar umbi.

“Kita perlu perkemaskan jentera masing-masing. Bayangkan tanpa bantuan rakan-rakan dengan kekurangan dana semasa PRN Johor, apakah kita mampu menang?

“Perkemas jentera dengan naratif baharu supaya kita benar-benar bersedia untuk menghadapi PRU15 nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Bahagian Kuala Kedah Datin Noor Hasita Mat Isa berkata UMNO perlu memanfaatkan kombinasi kepimpinan yang tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu gabungan Perdana Menteri dan Presiden parti.

“Kombinasi ini perlu kita terjemahkan sebaik mungkin supaya UMNO tidak berpecah dua. Kita gunakan kelebihan ini untuk kukuhkan parti.

“Insya-Allah parti kita menjadi semakin kuat di bawah kepimpinan Presiden UMNO dan Perdana Menteri pula dapat fokus kepada pentadbiran negara,” katanya.

Pada masa sama beliau menyeru kepimpinan UMNO menterjemahkan gagasan Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri sebagai Keluarga UMNO dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Kekuatan Keluarga UMNO amat bergantung kepada sefahaman kita seisi keluarga. Jika hubungan Ketua UMNO Bahagian, Timbalan, Naib, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri baik, Insya-Allah setiap gerak kerja dan tindakan kita akan berada dalam landasan yang betul,” katanya.

Sementara itu, perwakilan dari Melaka Datuk Haryati Hamdzah meluahkan kesedihan melihat tohmahan terhadap pimpinan atasan parti.

“Saya simpati dengan Presiden digelar, ditohmah. Saya juga bersimpati dengan YAB PM (Perdana Menteri), mengharungi kepayahan menyeimbangkan kuasa melalui Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) bersama parti pembangkang dengan sorak teriakan ahli parti yang memperlekehkan.

“Hakikatnya, bukan mudah mentadbir dalam krisis pandemik COVID-19 ini. Hanya yang tenang akan menang,” katanya.

Haryati juga menyentuh mengenai persoalan antara pemilihan parti dan PRU15 ibarat ayam dan telur dan tiada kesudahan akar umbi untuk memikirkannya.

“Saya mencadang, apapun keputusan, bincanglah elok-elok. Mesti pastikan parti kita menang. Rakyat selesa dengan kita,” katanya.

Sementara itu, perwakilan dari Pulau Pinang yang juga Ketua Wanita Bahagian Batu Kawan Noraina Safura Mohamed berkata pucuk pimpinan perlu meletakkan soal perundingan dan perincian isu tersebut secara konkrit bagi membuat keputusan terutama kepada lima pucuk pimpinan tertinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden.

“Rundinglah baik-baik. Tolonglah, jangan peningkan lagi ahli-ahli di bawah…kita perlu sepakat. Malahan mempertahankan perpaduan dalaman parti, itu adalah lagi baik. Kita ahli di bawah ini kadangkala perlukan kepastian dan pemahaman daripada setiap keputusan di atas,” katanya. – BERNAMA