Kembalikan Mandat Rakyat Untuk Keabsahan, Kestabilan Kerajaan – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan untuk keabsahan dan kestabilan kerajaan yang bersilih-ganti ini, mandat kepada rakyat perlu dikembalikan.

Katanya, ini supaya tiada lagi budaya ugut-mengugut, lompat-melompat, mandat rakyat diperkotak-katikkan serta dikhianati sebagaimana pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Tuntasnya dalam tempoh empat tahun semenjak kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional (BN), landskap politik negara amat tidak stabil. Malaysia mencatat sejarah mempunyai tiga Perdana Menteri dan tiga kerajaan memerintah bersilih-ganti.

“Semua ini bermula daripada pengkianatan kepada mandat rakyat sehingga prinsip demokrasi terus menerus dicabuli dan dikhianati,” tegasnya.

Dr Asyraf berkata demikian di dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2021 di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini pagi tadi.

Tambahnya juga, politik dendam yang membunuh seteru politik bagaikan menjadi fenomena biasa setiap kali berlakunya perubahan tampuk kuasa.

“Sistem perundangan negara pula diperkosai sewenangnya sehinggakan institusi peguam negara mudah dimanipulasi oleh sang penguasa.

“Sekutu politik dilepaskan pendakwaan malah kes-kes yang sedang dibicarakan pun boleh ditarik balik begitu sahaja. Sedangkan seteru mereka ditekan, digasak, diugut dengan pelbagai pertuduhan dan pendakwaan politik semudahnya,” bidasnya.

Begitu juga katanya dengan fenomena lompat parti.

“Mandat rakyat bagaikan barang mainan yang sudah tidak bernilai dan bererti. Setelah menang pilihan raya, ikatan dan pertanggungjawaban kepada rakyat tidak dipedulikan lagi. Tawaran dan ancaman dijadikan cagaran menghalalkan lompat parti.

“Inilah yang dinamakan pengkhianatan kepada mandat rakyat. Rakyat dengan suci hati memilih wakil rakyat dengan penuh harapan untuk membela dan membawa suara hati mereka. Namun kepercayaan ini dikhianati dengan hanya tawaran berbentuk ganjaran ataupun ancaman berbentuk pendakwaan,” katanya.

Sehubungan itu katanya Pemuda berpendirian tegas dan keras bahawa fenomena pengkhianatan dan pencabulan mandat rakyat tidak boleh lagi dikompromikan.

“Justeru, kestabilan mandat hanya boleh dijamin melalui komitmen parti untuk melakukan pembaharuan dan transformasi politik menyeluruh untuk negara,” katanya.

Ulasnya juga, ternyata Pakatan Harapan (PH) yang diberi peluang mentadbir negara selepas 9 Mei 2018 khianat kepada mandat rakyat apabila tidak menunaikan janji, mengamalkan politik dendam membunuh pesaing, sesuka hati menjual aset negara, membuatkan pelaburan asing semakin menjunam dan menghentikan dasar-dasar serta projek-projek pembangunan yang bermanfaat kepada rakyat.

Manakala kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan akibat perebutan kuasa PH pula katanya tiada keikhlasan, mengumpan jawatan serta memanipulasi darurat untuk mengekalkan kuasa semata-mata.

“Kemuncak kebobrokan Kerajaan PN apabila mereka tergamak menderhakai Raja hingga sanggup mendustai Tuanku kononnya baginda merestui penamatan darurat tanpa perlu ke Parlimen, hingga buat pertama kali dalam sejarah Majlis Raja-Raja menzahirkan titah dukacita,” katanya.

Jelasnya lagi, walaupun kini Perdana Menteri beralih kepada pemimpin kanan UMNO, namun sebelah tangan tetap terikat.

“Atas sebab itu, hampir semua lantikan Kerajaan PN masih kekal serupa. Atas sebab itu, banyak dasar-dasar yang baik masih tersekat. Mujurlah Perdana Menteri kini Naib Presiden kita yang berani buat keputusan walaupun kuat ditentang.

“Namun hakikatnya kerajaan campuran ini amat bergantung kepada ihsan pembangkang. Ugutan tekan ‘button’ bagaikan barang mainan. Andai kata ada yang berpaling tadah, sudah tentu kerajaan musnah.

“Apatah lagi sebahagian besar mereka itu, punya sejarah kaki lompat parti. Dalam keadaan begini, bagaimana pelabur punya keyakinan dan kepercayaan? Apa jaminan kerajaan tidak berubah buat kali keempat?” Soalnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.