Fokus Kepada Perjuangan UMNO, Tolak Agenda Peribadi – Zahida

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan mengajak ahli Puteri UMNO kembali merapatkan saf perjuangan bagi menempuhi hari mendatang.

Ini kerana Puteri UMNO akan lebih fokus pada perjuangan serta merapatkan lagi hubungan demi UMNO.

“Saya meletakkan harapan yang tinggi kepada semua Puteri UMNO, rapatkan saf, buangkan yang keruh, ambil yang jernih, fokus pada perjuangan parti, letak tepi agenda peribadi dan tiada masa untuk bersengketa kerana Puteri UMNO adalah generasi dan agenda perjuangan UMNO.

“Di bahu kita terpikul amanah besar, bukan untuk diri kita atau kawan-kawan tetapi amanah ini adalah amanah agama, bangsa dan rakyat.

“Selamat berjuang dan kena yakin serta percaya. Kalau ada keyakinan pada parti dan perjuangan kita, Insya Allah, dengan kerja kuat dan tidak ada mustahil bagi kita untuk terus memimpin dan berkhimat pada parti tercinta ini,’ ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa penggulungan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini petang tadi.

Tambah Zahida, Puteri UMNO juga mesti menjaga ketrampilan dan berkeperibadian tinggi supaya mampu menjadi contoh kepada generasi yang lebih muda.

“Puteri UMNO mesti ada ‘class’ tersendiri daripada orang lain dan tidak sama dengan orang lain. Sebab itu Puteri UMNO ini bersopan santun, mengamalkan akhlak yang baik dan sebagainya.

“Tapi… kerana nila setitik rosak susu sebelanga dan harap tidak akan berlaku pada masa-masa hadapan supaya anak muda di luar dapat melihat Puteri UMNO lebih baik dan sepatutnya menjadi ‘role model’ utuk orang muda di luar sana.

“Kalau kita tidak mengamalkan akhlak yang baik macam mana hendak menjadi ‘role model’ kepada anak-anak muda di luar sana,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.