Asyraf Seru Pemuda Jadi Benteng Parti Ketika Cubaan Laga-lagakan Kepimpinan

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini mengajak seluruh ahli pergerakan itu untuk menjadi benteng kepada mana-mana usaha serta cubaan pihak tertentu untuk melaga-lagakan kepimpinan di dalam parti.

Berucap pada penggulungan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO petang tadi, beliau menegaskan ketika UMNO kalah pada 2018, pergerakan itu menjadi benteng kepada parti dan hari ini apa salahnya mereka turut menjadi benteng sekali lagi bagi mengekang perbuatan yang tidak memberi sebarang manfaat dan makna kepada perjuangan UMNO.

“Sebab itulah saya minta Pemuda-pemuda kita hari ini kalau dulu kita menjadi benteng UMNO ketika kita kalah, saya ingin minta Pemuda-pemuda juga menjadi benteng UMNO ketika ada cubaan yang mahu melaga-lagakan pemimpin kita, nak mewujudkan kluster-kluster, nak mewujudkan kabilah-kabilah, nak menghancurkan serta memporak-porandakan kesepaduan kita.

“Jangan benarkan mereka ini cuba menghasut kita. Hari ini sahaja saya terima pelbagai nombor… macam-macam poster, macam-macam infografik seolah-olah kita pada tahun ada dua gerakan besar. Gerakan Perdana Menteri dan gerakan Presiden parti… apa dia ni… apa dia?” katanya.

Kata beliau lagi ketika parti mahu berdepan pilihan raya umum, usaha sedemikian sekadar untuk memporak-porandakan UMNO semata-mata dan masing-masing juga setuju untuk menyerahkan madnat kembali kepada rakyat, cumanya berbeza dari sudut masa sahaja.

“Kita nak berdepan pilihan raya. Semua setuju dan sepakat cuma berbeza soal masa. Tidak ada sesiapa pun yang tidak setuju kena bubar bagi balik mandat kepada rakyat… tetapi yang membezakan hanya soal masa. Masa ini biarlah rahsia dan jika kita buka cerita pembangkang tahu bila nak buat pilihan raya mereka akan bersiap sedia.”

Ujarnya, apabila mereka bersiap sedia maknanya kita ‘bodoh’ dalam perancangan peperangan dan itu bukan seni peperangan.

“Kita jangan beritahu musuh nak isytiharkan perang. Dalam ucapan dasar saya kita tegas dan jelas, kita tidak boleh selamanya selesa dengan apa yang ada. Kita sepakat daripada awal bagaimana kita tubuhkan kerajaan PN (Perikatan Nasional)… bagaimana waktu kita naikkan Datuk Seri Ismail Sabri sepakat bahawa itu hanya kerajaan sementara dan bawa kembali mandat kepada rakyat.

“Bukan kerana soal gila kuasa kita tahu kita adalah parti yang sentiasa menjaga maruah dan martabat negara serta rakyat. Kita tahu kalau kita berterusan sebegini negara nak stabil, nak makmur, nak aman, nak sejahtera. Sebab itu kita Pemuda adalah generasi yang sentiasa dekat getus dan naluri suara rakyat.

“Kita tegas dalam pendirian kita kerana kita membawa suara rakyat. Itu bukan populis dan bukan main-main. Sebab itu kita berjuang secara konsisten..orang nak kata apa biarlah dan saya tidak ambil kisah sebab kita tahu Pemuda-pemuda kita orang berpendirian dan kita tahu di mana tempat duduknya perjuangan. Inilah hasrat yang sama-sama kita nukilkan dan antara agenda besar kita. Biarlah pemimpin yang buat keputusan dan yang penting jangan hilang fokus,” tambahnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.