Anak Muda Di Bandar Mahukan Sesuatu Yang Baharu

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Pembahas Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berpandangan perjuangan UMNO perlu disesuaikan dengan keadaan cabaran dan keadaan semasa.

Mengambil contoh perjuangan parti itu di kawasan bandar seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, jelas beliau konsep ‘Abata’ sudah menjadi nostalgia, namun ianya tetap menjadi pegangan ahli-ahli parti dan berlainan pula jika dilihat daripada konsep orang-orang muda di bandar.

“Mereka mahukan sesuatu yang baharu…sesuatu yang kita boleh berikan harapan kepada mereka. Sebab itu saya bersetuju dengan apa yang Datuk Seri Mohamad Hasan cakap sebelum ini, perlu ada ‘political ideas’. Bukan hanya bercakap soal agama, bangsa dan negara tetapi hari ini kita perlu bercakap soal polisi, perlu bercakap soal ekonomi dan sebagainya lagi.

“Sebab  itu kalau kita tengok dan memperkatakan di Johor tempoh hari kita menang besar kita kena tengok tuan-tuan Parti Muda menang satu kerusi dengan majoriti yang agak besar. Itu merupakan cabaran kita Pemuda dan Puteri sebenarnya. Ia juga merupakan petanda bahawa kita tidak boleh duduk bersenang lenang masih mimpikan 40 kerusi yang dimenangi.

“Ianya adalah ‘wake up call’ untuk kita lebih mendekati orang muda. Apa gaya dan cara sekalipun orang muda terutamanya di bandar, mereka ini begitu dinamik. Hari ini mereka boleh sokong UMNO malam karang boleh sokong parti perikatan dan esok boleh sokong parti lain,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya merakamkan penghargaan kepada pimpinan khususnya Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berani menampilkan pimpinan muda sebagai calon sehingga ada yang bergelar Yang Berhormat hari ini.

Manakala pembahas daripada Kedah, Hayazi Azizan mengingatkan seluruh ahli parti agar sama-sama memperkuatkan parti dan UMNO tidak akan lemah gara-gara pihak luar dan sebagainya.

“UMNO sejak 1946 sudah lama…apabila kita meniti kejayaan demi kejayaan dan pada 9 Mei 2018 kita tewas. Kita difitnah dan dicaci malah selepas kekalahan itu ramai yang tidak keluar rumah. Keluar ke kedai kopi macam ada orang  pandang semacam. Namun hari ini dengan takdir Allah SWT, kita menerajui kerajaan.

“Jadi apa salahnya kita memberi ruang sedikit waktu untuk pimpinan berbincang dan terus berbincang untuk kebaikan bersama. Sebolehnya-bolehnya pilihan raya umum dahulu kemudian pemilihan di dalam parti.

“Kita ada presiden parti, kita ada perdana menteri…kita jaga elok-elok dan jangan bagi bergaduh. Hari ini kita menjadi tumpuan…mereka di luar sana nak dengar soal kita bergaduh, soal kita kata kat presiden, kita kata kat ketua pemuda, naib ketua pemuda dan sebagainya supaya kita terus gaduh,” katanya.

Begitu juga katanya sebenarnya UMNO kuat tetapi yang melemahkan apabila bercakaran sesama sendiri dan seharusnya setiap permasalahan dibincangkan dengan sebaiknya. – UMNO ONLINE

Oleh: Azman Abas

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.