Konflik Rusia-Ukraine Tidak Beri Implikasi Terhadap Perolehan Aset Pertahanan Negara

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Konflik Rusia-Ukraine tidak memberi implikasi besar terhadap perolehan dan perancangan aset pertahanan negara mahupun kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memelihara keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya sentiasa mengambil pendekatan untuk mempelbagaikan perolehan aset-aset strategik sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada negara tertentu.

“Bagi memastikan tahap kesiapsiagaan aset ATM sentiasa berada dalam keadaan baik, kementerian akan memperluaskan alternatif bagi mendapatkan bekalan alat ganti diperlukan daripada sumber negara-negara lain yang menggunakan teknologi dan pesawat sama seperti India,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan pendirian Malaysia mengenai sekatan terhadap Rusia adalah jelas iaitu tidak mengiktiraf sebarang sekatan secara unilateral, yang sebarang sekatan harus dibuat melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti ditegaskan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada 8 Mac lepas.

Dalam konteks kementerian, beliau berkata Kementerian Pertahanan melalui syarikat-syarikat tempatan mempunyai kontrak dengan Rusia untuk membekalkan alat ganti pesawat Sukhoi 30MKM dan kontrak perolehan peluru Metis-M Anti Tank Guided Missile (ATGM).

Namun beliau menjelaskan, sebelum berlakunya isu konflik berkenaan, Malaysia sememangnya mempunyai rancangan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap Rusia.

“Syarikat tempatan yang terlibat iaitu Aerospace Technology Systems Corp Sdn Bhd (ATSC) telah mengesahkan pihaknya mempunyai keupayaan untuk meneruskan penyelenggaraan pesawat Sukhoi dan mempunyai stok alat ganti pesawat berkenaan untuk dua tahun lagi,” katanya.

Menyentuh mengenai bayaran denda penghantaran lewat berhubung perolehan enam buah helikopter tempur ringan MD-530G, Hishammuddin berkata Halaman Optima Sdn Bhd yang bertanggungjawab sepenuhnya membuat pembayaran denda lewat itu, sekiranya berlaku kelewatan di pihak syarikat dalam membekalkan helikopter berkenaan.

Beliau berkata kerajaan akan mengguna pakai Klausa 24 – Set Off dengan memotong tuntutan invois kontrak daripada syarikat Halaman Optima Sdn Bhd sebagai ganti pembayaran denda lewat, sekiranya syarikat itu gagal menjelaskan tuntutan denda lewat tersebut.

Bagi perolehan jet tempur ringan (LCA) pula, Hishammuddin berkata ia tidak boleh disamakan seperti kapal tempur pesisir pantai (LCS) dan MD-530G yang merupakan projek legasi kerana LCA merupakan projek perolehan yang akan datang.

“Keperluan perolehan ini dibuat bagi menggantikan pesawat MiG-29N/UB kerana telah ditamatkan operasi pada tahun 2017 dan menggantikan pesawat HAWK yang akan berusia 32 tahun pada tahun 2026 serta pesawat Aermacchi (MB-339CM) yang akan berusia 22 tahun pada tahun 2030,” katanya.

Sementara itu Hishammuddin juga berkata dalam memastikan tiada lagi isu ketelusan dan salah laku dalam proses perolehan, FLIT-LCA secara Tender Terbuka Antarabangsa telah diiklankan pada 22 Jun 2021 dan telah ditutup pada 6 Okt 2021.

“Pada masa ini, pihak Kementerian telah melengkapkan semua peringkat penilaian dan laporan sedang disediakan untuk diperakukan oleh Lembaga Perolehan Kementerian dan seterusnya dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bagi memuktamadkan pembida yang berjaya,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.