Skim Pembiayaan Kenderaan Komersial Diperkenal April Ini Untuk Bantu Usahawan

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Bank Rakyat akan memperkenalkan Skim Pembiayaan Kenderaan Komersial selewat-lewatnya pada April ini, bagi membantu usahawan sektor pengangkutan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, membeli kenderaan baharu untuk tujuan kegiatan ekonomi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata pembiayaan menerusi perjanjian sewa beli itu, akan membantu golongan tersebut bersedia menghadapi pembukaan sempadan negara susulan Fasa Peralihan Ke Endemik mulai 1 April ini.

“Kita tahu ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bas sekolah, bas ekspres, teksi dan sebagainya tidak boleh berjalan (mungkin rosak). Sebelum ini tiada skim pembiayaan seperti ini untuk bantu mereka.

Bila sempadan dibuka nanti lebih ramai pelancong yang akan datang, jadi sudah tentu pengusaha kenderaan ini diperlukan untuk menggerakkan aktiviti ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL) kali ke-17 di Puchong di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau telah meminta Bank Rakyat memperkenalkan skim berkenaan yang kini telah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah untuk dilaksanakan segera.

“Ia akan diperkenalkan secepat mungkin. Ketika ini Bank Rakyat sedang tubuhkan unit baharu untuk kendalikan skim ini dan paling lewat saya beri bulan depan,” katanya.

Bagaimanapun, Noh berkata bagi mendapatkan pembiayaan tersebut, pemohon perlu mengemukakan penyata pendapatan sebelum pandemik COVID-19 untuk penilaian pihak bank.

“Yang penting Bank Rakyat nak tengok pendapatan sebelum COVID-19 dengan betul dan jelas, iaitu memastikan kenderaan tersebut beroperasi semasa tempoh itu. Sekurang-kurangnya apabila terbukti sebelum PKP mereka memang aktif dan terkesan teruk apabila bila PKP dilaksanakan, golongan ini yang kita akan beri keutamaan,” katanya.

Beliau juga mengarahkan agensi di bawah kementeriannya terutama Tekun Nasional, agar turut membantu sekurang-kurangnya membiayai sebanyak 10 peratus daripada harga pembelian kenderaan baharu bagi golongan berkenaan.

“Kalau bank bagi 80 peratus dan Tekun Nasional bantu 10 peratus, sekurang-kurangnya pemohon hanya perlu mengeluarkan 10 peratus sahaja. Ini akan ringankan beban pengusaha,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.