Undi Popular & Peratusan Pengundian Sekadar Alasan, Sistem Demokrasi Malaysia ‘First Past The Post’ – Ahmad Maslan


KUALA LUMPUR, 14 Mac – Pelbagai lontaran dan kesimpulan yang dibuat berkaitan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu termasuklah soal undi popular dan peratusan keluar mengundi adalah sekadar ulasan yang menyimpang daripada pelaksanaan sistem demokrasi di negara ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sistem yang digunapakai di Malaysia adalah ‘first past the post’ yang membawa makna mana-mana parti yang melepas garisan kemenangan maka mereka berhak mendapat tempat dan itulah yang diamalkan sejak sekian lama.

Sambil melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan oleh pengundi di Johor, Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian seterusnya menambah begitu juga mereka yang mengaitkan soal peratusan keluar mengundi yang mana pengundi sama sekali tidak dihalang untuk membuang undi.

DS AHMAD MASLAN

“Ada analisis di luar itu mengatakan UMNO tidak menang dari segi undi popular. Kita nak menyatakan bahawa sistem demokrasi di Malaysia ini bukan menggunakan undi popular dan ianya menggunakan sistem ‘first past the post’. Sesiapa yang sampai ke garisan kemenangan dia akan dapat ‘post’, dan ianya tidak boleh dicampurkan undi PH, campur undi PN, campur undi Pejuang, undi bebas… lawan undi BN. Itu tidak betul.

“Bukan itu kaedah di Malaysia dan kita bukannya menggunakannya pemilihan presiden seperti yang berlaku di Amerika Syarikat. Di Malaysia jumlah pengundi yang keluar mengundi di setiap DUN jika sudah mendapat majoriti maka menanglah DUN itu. Ini yang kita gunakan dan tidak perlulah dicampur berapa undi yang dapat pembangkang di kawasan bandar berbanding BN di kampung. Itu bukan kaedahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang akan bermula Rabu hingga Sabtu ini.

Ahmad Maslan seterusnya menegaskan dalam konteks demokrasi, mereka yang tidak mengundi perlulah menerima keputusan yang telah dibuat oleh mereka yang membuang undi.

“Kemudian ada pula yang mengatakan kerana tidak ramai yang keluar mengundi… dalam konteks demokrasi orang yang tidak keluar mengundi tidak pernah dihalang untuk keluar. Jadi mereka yang tidak keluar membuang undi itu hendaklah menerima keputusan mereka yang telah mengundi. Itu kaedah sistem demokrasi di Malaysia. Jadi analisa-analisa yang mengatakan bahawa kalau ramai yang keluar mengundi maka BN tidak semestinya menang begitu.

“Mereka yang kalah sekadar mencari alasan dan kami pula bukanlah mendabik dada dengan kemenangan… tentunya kami sentiasa memperbaiki kelemahan apa yang berlaku di Melaka kita perbaiki dan kita dapat kemenangan itu di Johor.

“Johor itu bukanlah terkeluar daripada kita punya jangkaan sebab sejak daripada awal lagi secara peribadi saya menyebut bahawa kita ada keyakinan untuk menang lebih daripada 2/3 dan saya sendiri mengharapkan lebih 42 kerusi dan kita dapat 40, Alhamdulillah,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.