Isu Pampasan Sulu: Bekas Peguam Negara Lantikan PH Mesti Bertanggungjawab – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Tindakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang dilantik oleh Tun Mahathir Mahathir, Perdana Menteri semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah bukan sahaja tidak mencerminkan ketegasan negara dalam mempertahankan kedaulatan.

Malah, ketundukan kerajaan PH pada desakan luar dalam isu tuntutan waris masyarakat Sulu di Sabah yang tidak seharusnya dilayan telah meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang sukar.

Tegas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ia bukan sahaja perihal pampasan RM63 bilion, ia turut memalukan dan mengancam keselamatan awam.

Demikian respon Ahmad Zahid susulan tersebarnya surat bekas peguam negara lantikan PH seperti yang dilaporkan dalam pelbagai media.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mendesak beberapa perkara kepada pihak yang berkaitan.

“Pertama, bekas peguam negara lantikan PH ini mesti dipertanggungjawabkan. Harus ada penjelasan yang lengkap, telus dan munasabah dari beliau terhadap tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.

“Adalah tidak pelik jika masyarakat bukan sahaja berasa marah dan ‘kesal’ dengan tindakan bekas peguam negara lantikan PH ini, tetapi ramai yang mula berasa tidak selamat. Mana tidaknya, kita sendiri yang mengaku dan mengiktiraf penceroboh mempunyai ke atas kita sekali pun selepas melakukan pencerobohan wilayah dan membunuh anggota keselamatan kita!

“Kedua, kerajaan semasa mesti bertindak. Kerajaan mesti memanggil bekas peguam negara lantikan PH ini untuk tampil membuat penjelasan. Malah, Kerajaan mesti menubuhkan pasukan khas untuk meneliti keseluruhan perkara ini dan menerangkan kesemuanya kepada masyarakat,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Ketiga tambah Ahmad Zahid, beliau menyeru masyarakat untuk bersama-sama meneliti isu ini dengan rapat.

“Kita tidak boleh membiarkan peguam negara lantikan PH dan mereka yang terlibat dalam isu kedaulatan ini terlepas begitu sahaja. Sebelum ini Pulau Batu Puteh sudah terlepas. Ini pula isu kedaulatan yang melibatkan Sabah. Mereka tidak boleh dibiarkan terlepas.

“Patutlah selama ini bekas peguam negara lantikan PH ini sangat beria-ia membuka pekung Jabatan Peguam Negara (AGC) di dalam bukunya Justice In Wilderness. Kononnya kakitangan kerajaan dalam AGC tidak kompeten, tidak cekap dan sebagainya. Barangkali semua itu hanya untuk menutup kelemahan dan kesilapannya dalam isu ini. Sehingga memburuk-burukkan Jabatan Peguam Negara,” bidasnya.

Seterusnya ulas Ahmad Zahid, Tommy harus sedar apa yang beliau lakukan itulah maksud sebenar ‘Justice In Wilderness’, satu keadilan dan proses kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ yang diperkotak-katikkan secara sesuka hati.

“Yang pasti, hari ini jelas sekali lagi. Mereka yang selama ini hadir dengan ‘topeng’ dan laungan palsu mahu menjadi ‘penyelamat’ negara dengan naratif ‘Malaysia Baharu’, rupa-rupanya adalah dalang yang berpotensi menggadaikan kedaulatan negara,” selarnya lagi.

Jelasnya lagi, dapat juga dilihat apa kata mereka yang mendukung bekas Peguam Negara lantikan PH ini.

“Parti MUDA, DAP, PKR, AMANAH hatta WARISAN harus mempunyai pendirian yang jelas. Atau pada mereka kedaulatan negara tidak penting?

“‘Malaysia Baharu’ bukan sahaja satu propaganda politik. Rupa-rupanya ‘baharu’ mereka itu telah membawa maksud baharu dalam cara kita mempertahankan kedaulatan negara.

“Mereka semua mesti bertanggungjawab,” tegas Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.