Hasni Cadang BN Pilih Orang Muda Pimpin Johor

JOHOR BAHRU, 14 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Hasni Mohammad mencadangkan pucuk pimpinan parti agar memilih orang muda untuk memimpin Johor, setelah melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri.

Beliau berkata langkah itu juga demi memastikan kemakmuran negeri berpanjangan.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, beliau berkata kerajaan negeri di bawah pimpinannya telah berikhtiar sebaik mungkin untuk menjadikan negeri Johor berdaya tahan dalam mendepani cabaran-cabaran pandemik COVID-19.

“Insya-Allah di bawah kepimpinan baharu, negeri Johor akan menjadi lebih makmur dan sejahtera.

“Seperti yang saya ucapkan pada malam kemenangan BN Johor tempoh hari, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim.

“Kini merupakan masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur,” kata bekas Menteri Besar itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Benut. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.