Tahniah Wanita BN, Terima Kasih Pengundi Memilih BN Menang PRN Johor Ini – Noraini Ahmad

JOHOR BAHRU, 13 Mac – Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menzahirkan kesyukuran kerana BN telah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ini kerana rakyat Johor telah memberikan kepercayaan kepada BN dan begitu juga dengan calon Wanita.

“Alhamdulillah… Saya amat bersyukur bagi Wanita BN ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengundi di negeri Johor yang memberi kepercayaan kepada calon-calon BN untuk menang dalam PRN Johor ini terutamanya kepada calon-calon Wanita BN.

“Tujuh calon Wanita BN yang diketengahkan kesemuanya menang termasuk calon dari MIC dan juga Puteri jadi jumlah calon Wanita dan Puteri yang memenangi PRN ini adalah sembilan orang.

“Saya percaya calon-calon ini akan menabur bakti dan akan menunaikan janji-janjinya yang diutarakan semasa berkempen. Saya juga mengharapkan agar pengundi-pengundi memberi kepercayaan kepada calon-calon yang telah menang ini dan BN akan mengotakan segala janji melalui ‘Ikhtiar BN’ Johor terutamanya yang berkaitan dengan wanita, ” katanya ketika ditemui oleh UMNO Online di Pejabat UMNO Negeri Johor, malam tadi.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO berkata ini menunjukkan kepercayaan yang jitu daripada kepimpinan BN untuk mengetengahkan Wanita BN.

“Ini menunjukkan kepercayaan kepimpinan BN terhadap calon-calon BN yang diketengahkan tempoh hari dan ditambah dengan gerak kerja oleh Wanita BN membantu dan memberikan kepercayaan kepada pengundi-pengundi untuk mengundi BN, ” katanya lagi.

Terdahulu, BN telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak 40 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertandingkan di seluruh negeri Johor.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.