Kemenangan 2/3 Kemenangan Untuk Rakyat – Dr Asyraf

JOHOR BAHRU, 13 Mac – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan rakyat Johor kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu semalam.

Menurut beliau ia sebenarnya adalah manifestasi rakyat Johor yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil demi kelangsungan kehidupan dan kemajuan ekonomi negeri di bumi Johor yang bertuah ini.

“Alhamdulilah setinggi-tinggi kesyukuran dan pujian kepada Allah SWT yang telah memberikan kemenangan kepada BN dengan majoriti besar di luar jangkaan kami sendiri.

“Terima kasih yang tidak terhingga buat semua pengundi-pengundi di negeri Johor yang telah kembali memberikan kepercayaan dan mandat kepada BN.

“Penghargaan besar daripada Pemuda BN ke atas kepimpinan parti terutamanya kepada Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Haji Hasan, Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkerja keras membantu jentera parti sepanjang tempoh kempen meskipun ditohmah dan cuba diaibkan oleh pihak lawan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Paling manis tambah beliau lagi tentunya adalah kemenangan semua lima calon Pemuda UMNO, dua Pemuda MCA dan satu Pemuda MIC yang membuktikan kepercayaan rakyat ke atas kemampuan pelapis pimpinan BN di masa hadapan.

“Yakin dan percayalah, komitmen, kerjasama, dedikasi dan kerja kuat kalian semua adalah faktor utama kejayaan BN pada hari ini.

“Tetapi jangan kita sesekali lupa dan leka dengan kemenangan yang diberikan ini. Kita perlu mempersiap-siaga, memperkemaskan jentera dan terus menyantuni rakyat untuk memastikan BN menjadi pilihan utama rakyat pada PRU ke-15 nanti,” tambahnya.

Pada masa yang sama beliau turut menzahirkan rasa terima kasih dan ucapan tahniah buat seluruh jentera BN termasuklah jentera Wanita, Puteri, komponen MCA, MIC, Friends of BN dan khususnya jentera Pemuda BN dari seluruh negara yang telah berkampung berminggu lamanya, berkorban masa, keringat dan tenaga demi memastikan BN menjadi pilihan rakyat di Negeri Johor.

“Buat pemimpin-pemimpin anak muda BN di Negeri Johor, jagalah amanah yang diberikan dan jangan berhenti memberi khidmat yang terbaik buat rakyat di DUN masing-masing.

“Moga-moga Allah menetapkan kita semua pada jalan yang benar dan sentiasa beroleh keredhaanNya demi perjuangan membela rakyat dan membangunkan negara,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.