Kejayaan BN Hadiah Buat Pengundi Johor – Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU, 13 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap kejayaan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah hadiah kepada pengundi di negeri ini.

Katanya lagi dengan itu Ikhtiar BN yang menjadi pegangan parti pada pilihan raya ini juga akan dilaksanakan sebaiknya di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad.

“Alhamdulillah saya syukur kepada Allah dengan kejayaan BN memenangi semula kerajaan negeri Johor yang akan terus kita pimpin.

“Sebagaimana yang telah disebutkan keputusan tak rasmi adalah di luar jangkaan syukur namun dengan tiada perasaan sombong, riak kita rasa bahawa kejayaan ini adalah hadiah untuk rakyat Johor yang telah beri kepercayaan semula kepada BN.

“Ikhtiar Johor akan dilaksanakan dan kami kepimpinan pusat akan terus membantu beliau bagi melaksanakan semua Ikhtiar Johor secepat mungkin dengan secepat mungkin dan insya-Allah dimulakan dengan Belanjawan 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri turut hadir adalah Pengerusinya, Datuk Seri Hasni Mohamad; Pengarah PRN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan kepimpinan lain.

Presiden UMNO itu juga turut merakamkan penghargaan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenan untuk mengembalikan mandat pentadbiran negeri kepada rakyat melalui PRN ini.

“Saya menjunjung kasih di atas perkenan Tuanku kembalikan mandat pada rakyat bagi BN membentuk kerajaan kerana dengan perkenan Tuanku juga Dewan Undangan Negeri (DUN) bubar untuk PRN diadakan.

“Insya-Allah Hasni akan persembahan junjung kasih kepada Tuanku maka mudah-mudahan kejayaan ini tidak akan mengecewakan Tuanku bagi BN mewujudkan kerajaan yang stabil di negeri ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.