Hari Mengundi, Rakyat Tunai Tanggungjawab Pilih Kerajaan Baharu

BATU PAHAT, 12 Mac – Hari ini bermulanya rakyat negeri Johor mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memilih kerajaan negeri baharu.

Sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka bermula 8 pagi, bagi membolehkan 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar yang layak mengundi dan menunaikan tanggungjawab mereka.

Berdasarkan tinjauan UMNO Online di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Menteri, Semarang di sini melihat pengundi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Pengundi-pengundi di DUN Semarang ini masing-masing datang dengan kenderaan sendiri dan ada juga yang menaiki kenderaan yang membawa logo parti-parti yang bertanding.

Petugas-petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sukarelawan membantu dan memudahkan warga emas mahupun orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda untuk terus ke tempat pendaftaran dan seterusnya ke ruang menunggu untuk pembuangan undi.

Sementara itu situasi sama dapat dilihat di Sekolah Agama Seri Machap, Simpang Renggam apabila pengundi di kawasan berkenaan keluar membuang undi dengan selesa apabila terus memasuki pusat pengundian tanpa perlu beratur panjang di kawasan tersebut.
Pada PRN Johor ini buat pertama kali Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan pengundi yang bergejala mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

Semasa proses pengundian PRN Johor berlangsung, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

SPR memaklumkan pengundi berstatus individu dalam siasatan dan individu dalam pengawasan perlu memohon pegawai kesihatan daerah (PKD) untuk keluar sementara ke pusat mengundi dan kebenaran adalah tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh PKD itu. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.