PRN Johor Cerminan PRU-15, Gambaran Komitmen, Iltizam BN – Zahid

JOHOR BAHRU, 12 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata apapun keputusan yang dicapai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung hari ini adalah cerminan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Mudah-mudahan katanya, keputusan PRN ini akan memberikan gambaran kepada komitemen dan iltizam seluruh jentera, para pemimpin dan ahli-ahli UMNO di akar umbi dan para pengundi termasuk yang belum menjadi ahli UMNO untuk terus bangkit.

“Alhamdulillah, apapun keputusan yang dicapai adalah cerminan kepada PRU ke-15. Mudah-mudahan ini akan memberikan gambaran, komitmen, iltizam kepada bersama-sama dengan UMNO untuk kestabilan politik di negara kita tanpa mengira agama, kaum dan Wilayah.

“Insya-Allah kita akan tunjukkan komitmen kita untuk kemajuan dan pembangunan ekonomi,” katanya yang juga Presiden UMNO.

Ujarnya lagi, hanya BN yang boleh mewujudkan kestabilan kepada seluruh jentera dan semua pihak yang bertungkus-lumus untuk parti.

Terdahulu, proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang bermula 8 pagi tadi, tamat selepas 1,021 pusat mengundi ditutup sepenuhnya pada 6 petang ini.

PRN Johor kali ini menyaksikan 239 calon daripada 15 parti politik bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada sejumlah 2,597,742 pemilih berdaftar bagi PRN kali ini layak mengundi hari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.