Jangan Teragak-agak Tunai Hak Mengundi- Shahril

PASIR GUDANG, 12 Mac – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan menyeru pengundi di Johor untuk menunaikan tanggungjawab sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung hari ini.

Katanya, pengundi terutama golongan muda tidak perlu ragu-ragu untuk keluar mengundi kerana ini merupakan sebahagian hak sebagai warganegara Malaysia.

“Seruan saya kepada rakyat Johor di mana sahaja anda berada terutama pada pengundi pertama kali… tanggungjawab dan amanah di atas bahu, hak mengundi pun bukan hak yang kecil untuk diambil mudah.

“Kepada anak muda yang belum lagi buat keputusan untuk keluar atau masih teragak-agak marilah jalankan tanggungjawab saya yakin anda fikir betul-betul dan tahu siapa yang hendak dipilih …apa sahaja pilihan keluarlah mengundi.

“Kita sebagai parti politik lebih suka untuk peratusan yang tinggi kerana itu menunjukkan rakyat betul-betul mengambil berat membabitkan diri dalam sistem demokrasi yang akan memilih wakil rakyat dan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama jentera Barisan Nasional (BN) di bilik gerakan bagi pusat daerah mengundi di Taman Megah Ria di Pasir Gudang.

Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga turut memaklumkan bahawa jumlah peratusan keluar mengundi yang dilaporkan sedikit rendah adalah disebabkan beberapa faktor.

“Bila kita tengok data daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun peratusan pengundi masih sedikit rendah tapi kita kena faham jumlah pengundi di Johor ini sudah bertambah dengan jumlah yang besar iaitu hampir 800,000 berbanding Pilihan Raya Umum ke-14.

“Jadi peratusan pengundi itu mungkin rendah tapi dari segi angka sebenar keluar masih baik tapi perlu ditambah.

“Saya juga melihat prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi kita pun sudah tahu tentang peraturan yang ditetapkan oleh SPR jadi dalam hal ini saya nampak tidak ada isu,” ujar beliau.

PRN Johor hari ini adalah pilihan raya pertama di negara ini bagi anak muda merasai sendiri pengalaman keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat, melibatkan 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.

Kebenaran untuk anak muda mengundi kali ini adalah susulan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.