Ismail Sabri Seru Pengundi Buat Pilihan Demi Kestabilan Masa Depan, Generasi Akan Datang

JOHOR BAHRU, 12 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan ringkasnya di Facebook mengucapkan selamat mengundi buat rakyat Johor di Pilihan Raya Negeri (PRN) pada hari ini.

“Selamat mengundi buat rakyat Johor di PRN Johor.

“Buatlah pilihan demi kestabilan masa depan dan generasi kita,” kata Naib Presiden UMNO itu.

Manakala menurut laporan dari Bernama, Ismail Sabri turut meninjau perjalanan proses pengundian.

Ismail Sabri yang tiba di Sekolah Kebangsaan Perumahan Tampoi 2, Kempas, iaitu satu daripada 1,021 pusat mengundi dibuka hari ini, pada 1.55 petang dan meluangkan masa kira-kira 10 minit melihat dari perkarangan luar sekolah itu.

Perdana Menteri turut dilihat mengadakan pertemuan dengan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas Datuk Ramlee Bohani.

Ramlee berdepan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Napsiah Khamis Maharan (Pakatan Harapan), Nornekman Osman (Parti Pejuang Tanah Air), Nur Faizal Abdullah (Perikatan Nasional) dan tiga calon Bebas iaitu Mohd Azwan Abd Rahman, Mohd Suhimi A Rahman dan Mohd Hambali Munadi.

Turut kelihatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Sebanyak 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Pada PRN Johor kali ini, 239 calon daripada 15 parti politik bertanding merebut 56 kerusi DUN Johor.

Sementara itu, dalam hantaran di Twitter beliau, Ismail Sabri bersyukur proses pengundian yang berlangsung hari ini lancar dan teratur.

“Meninjau PDM Taman Siantan, DUN Kempas bersama calon Barisan Nasional, Datuk Ramlee Bohani.

“Jumpa Aisyah (jurufoto Nur Aisyah Mazlan) daripada NSTP yang sedang bertugas. Alhamdulillah proses mengundi di sini lancar dan teratur,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.