Bertugas Di KL, Mengundi Di Johor: Staf Ibu Pejabat UMNO Malaysia Tunai Tanggungjawab

JOHOR BAHRU, 12 Mac – Walaupun bertugas di Ibu Pejabat UMNO Malaysia di ibu negara Kuala Lumpur, beberapa pegawai dan kakitangan yang berasal dari negeri Johor tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada hari ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian menjadi orang yang pertama mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bahagia, Pontian pada jam 8 pagi tadi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut.

Begitu juga Setiausaha Kerja Datuk Mohd Sumali Reduan selesai tunai tangggungjawab sebagai pengundi DUN Benut.

Manakala kakitangan Ibu Pejabat pula antaranya seperti pegawai kewangan Farahdzillah Abd Kadir yang berasal dari Skudai, di sini.

Jarak yang jauh dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru tidak menghalang beliau untuk pulang mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Impian Emas, Skudai di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai pada jam 10 pagi tadi.

Bagi Zuraidah Paiman, Meszura Sirat dan Rosnani Malik pengundi di DUN Tanjung Surat membuang undi di SK LKTP Kledang, Pengerang.

Seterusnya, Pengerusi Badan Kebajikan Kakitangan Ibu Pejabat UMNO (BKIP) Mohd Faizal Mohd Salleh keluar mengundi lebih kurang pada jam 4 petang tadi di SK Tebrau Bakar Batu, di sini.

Mohd Faizal, yang ditemui krew UMNO Online berkata, atas tanggungjawab untuk mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang stabil, jarak jauh bukan satu penghalang baginya kerana yang lebih penting adalah masa depan rakyat dan negeri itu.

“Saya mengambil ruang dan kesempatan yang ada ini untuk sama-sama menyumbang kepada Barisan Nasional (BN) supaya negeri Johor ini kembali menjadi sebuah negeri gemilang, kembali berada di landasannya yang asal sepertimana sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Begitu juga saya mengharapkan rakyat Johor akan memilih parti yang mementingkan kestabilan, kerana dengan kestabilan itulah kemakmuran akan dinikmati bukan sahaja generasi sekarang malah generasi akan datang,” kata pengundi DUN Stulang itu.

Selain mereka, kakitangan dari bahagian logistik, Norzaitul Ashikin Abd Ghafar juga mengundi di SMK Seri Tangkak, Ledang bagi DUN Tangkak.

Siti Kaslinda Abd Kadir kakitangan bahagian Penerangan pula selesai menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi DUN Kemelah pada sebelah pagi tadi di Sekolah Agama Taman Pelangi, Sekijang.

Hari ini, seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Pada PRN Johor kali ini, 239 calon daripada 15 parti politik bertanding merebut 56 kerusi DUN Johor. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.