Baharudin Calon DUN Permas Selesai Buang Undi

PASIR GUDANG, 12 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib selesai menunaikan undi sekitar jam 12.30 tengah hari tadi.

Beliau yang memakai baju kemeja putih hadir berseorangan di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melor, di sini.

Baharudin ketika ditemui UMNO Online meluahkan perasannya bercampur baur pada mulanya namun sedikit lega selepas selesai melakukan pembuangan undi.

“Perasaannya sama juga berdebar tapi bila sudah membuang undi itu kita serahkan kepada Allah untuk menentukan,” katanya.

Sementara itu, Baharudin pada masa sama turut menyeru agar rakyat di negeri ini menunaikan tanggungjawab mereka mengikut masa yang telah dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya tengok kali ini berjalan lancar tidak perlu beratur panjang berbeza berbanding sebelum ini saya juga tengok yang keluar mengundi masih kurang dalam 29 hingga 30 peratus sehingga tengah hari ini itu yang mendorong proses berjalan lancar tidak perlu tunggu lama.

“Prosedur operasi standard (SOP) pun berjalan dengan baik lagi pun SPR memberikan masa cadangan pada waktu-waktu tertentu saya pula pada pukul 12 tengah hari hingga 2 petang itu antara faktor SOP kita ikut dan juga berjalan dengan lancar.

“Saya juga hendak sarankan supaya pengundi untuk keluar mengundi untuk tunaikan tanggungjawab kita jadi perlu laksanakannya untuk membentuk satu kerajaan yang lebih baik,” katanya.

Kerusi DUN Permas menyaksikan pertembungan lima penjuru di antara BN yang berdepan dengan Tazul Arifin (Perikatan Nasional); Mahaya Ahad (Parti Pejuang); Syed Othman Abdullah (Pakatan Harapan) dan Mohamed Ridza Busu (Warisan).

Pilihan raya ini diadakan selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu dan ianya sekaligus menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.