Rakyat Johor Jangan Ragu, Bersama Kembalikan Kestabilan, Kegemilangan Negeri

ESOK Sabtu 12 Mac seluruh pengundi di bumi bertuah Darul Ta’zim bakal membuat pilihan wakil rakyat di kawasan masing masing, wakil rakyat yang bakal dihadap untuk selama lima tahun akan datang.

Sudah tentu kesengsaraan dan pengalaman yang dilalui akan menjadi pengajaran untuk membuat pilihan.

22 bulan telah mengajar tentang begitu mudah segala apa yang dibina dirobekkan. Perubahan dasar dan tindakan drastik yang tak waras menyebabkan ketidaktentuan ekonomi yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat di seluruh negara.

Bagi Johor bukan sahaja kehidupan seluruh rakyat terkesan, kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh juga terlepas. Entah apa rasionalnya dengan tidak meneruskan tuntutan terhadap kedaulatan itu sedangkan terdapat sokongan kukuh.

Ianya memberikan seribu pertanyaan motif sebenar kerajaan yang dinama Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Ketikdaktentuan dan tidak boleh tahan bukan sahaja di kalangan rakyat malah di kalangan wakil wakil rakyat juga menyebabkan kerajaan PH mampu bertahan selama 22 bulan.

Barisan Nasional (BN) dengan tegas ketika itu mahukan mandat diserahkan kepada rakyat namun demi memikirkan kesan dan akibat kepada rakyat kerana wabak COVID-19 mula mengganas dan perbicangan antara Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja-Raja Melayu serta menempuhi suatu proses yang tidak pernah berlaku dalam sejarah maka terbentuklah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kerajaan yang dibentuk bukan atas pilihan raya maka sudah tentu fokus dan tumpuan ketika itu adalah untuk menjaga wakil-wakil rakyat bagi mengekalkan kerajaan supaya terus berkuasa.

Tumpuan dan fokus kepada rakyat pasti kurang walau propaganda dan publisiti kononnya menunjukkan kerajaan dan pemimpinnya prihatin yang akhirnya memakan diri dilabel “kerajaan gagal” serta turunnya perdana menteri setelah 17 bulan.

BN berpengalaman dan terbukti lebih 60 tahun mentadbir negara tidak kekok dan segera memperbetulkan keadaan walau bukan dalam kapasiti sepenuhnya. Ketidaktentuan politik nampak lebih stabil dan penyampaian kerajaan lebih teratur dan baik jika dibandingkan sebelumnya.

Johor yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Haji Hasni Mohammad turut mengorak langkah ke hadapan. Beliau tidak menunggu lama beliau terus meletakkan semula Johor ke landasan yang sepatutnya dan berarah.

Tujuh Ikhtiar Makmur Johor digariskan dan dilaksanakan pelbagai inisiatif bagi kemakmuran seluruh rakyat Johor yang terkesan dengan pelbagai permasalahan yang berlaku.

Walau dalam tempoh tak sampai dua tahun memerintah kesan dan kemakmuran hasil kepimpinan beliau telah dapat dirasai dan wajar diteruskan untuk tempoh penggal akan datang kerana Johor perlukan seorang pemimpin yang mempunyai karisma yang tinggi, berperkerti dan berwawasan.

Batang tubuh YAB Dato’ Haji Hasni sememangnya diperlukan sebagai arkitek, perunding dan perlaksana kemakmuran Johor pada masa hadapan. Beliau di kalangan terbaik dari yang baik baik dan diangkat sebagai “poster boy” serta calon Menteri Besar Johor jika beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut dan kerajaan BN berjaya membentuk kerajaan.

Apa Pilihan Yang Rakyat Johor Ada.

Rakyat Johor sebenarnya tidak ada pilihan lain selain BN.

Ketika PH memerintah Johor, di kalangan mereka sendiri gagal mewujudkan kestabilan dan kemakmuran. Dua menteri besar menjelaskan ketidakmampuan mengurus dengan baik.

PN yang memerintah di pusat sememangnya gagal. Gagal dari pelbagai segi sehingga darurat dilaksanakan dan perlembagaan digantung. Malaysia satu-satunya negara yang menggantung Perlembagaan demi kelangsungan hayat kerajaan tersebut.

Di Johor pun begitu, bukan mudah kerajaan negeri ingin membuat dasar ataupun keputusan malah setiap kali undian di Dewan sentiasa menyaksikan situasi tegang dan cemas disebabkan majoriti yang tipis.

Pilihan yang rakyat Johor ada ketika ini hanya BN sahaja. PH pun sudah tidak sepakat, PKR telah menggunakan logo sendiri, PN penuh dengan retorik dan tiada matlamat yang jelas untuk memandu Johor, kempennya masih lagi menyerang peribadi pemimpin dan isu isu yang jauh tersasar daripada permasalahan rakyat Johor hadapi ketika ini.

Rakyat Johor perlukan khidmat daripada wakil rakyat secara yang berkesan dan terbaik. Bagaimana penyampaian khidmat hendak dilakukan secara yang efisien jika pengundi terlalu ramai. Di Johor sekarang ini terdapat banyak DUN yang mempunyai lebih 50 ribu pengundi

Di Kota Iskandar contohnya terdapat lebih 116 ribu pengundi. Jadi untuk menyelesaikan masalah ini secara jangka panjang DUN-DUN ini perlu disempadankan semula. Untuk merealisasikan perkara tersebut DUN Johor perlukan sebuah kerajaan yang majoriti kukuh iaitu dua pertiga atau sekurangnya memiliki 38 kerusi.

Dengan apa yang ditawarkan oleh BN dari segi calon, kesungguhan berkempen dan meyakinkan pengundi, BN satu-satunya parti yang serius ditawarkan buat rakyat Johor untuk dipilih pada hari mengundi esok.

Rakyat Johor tidak harus ragu-ragu dengan Ikhtiar BN Johor yang diperkenalkan yang mana terkandung satu matlamat utama dan lima ikhtiar untuk lima tahun yang juga kesinambungan dari apa yang telah direncana oleh YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad.

Johor dijangka akan jauh kehadapan dan menjadi negeri memimpin kemajuan negara.

Johor Pada Masa Hadapan.

Dengan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April nanti sudah tentu Johor akan berganda mendapat limpahan kesan ekonominya. Kedudukan strategik bersempadan dengan Singapura dan Kepulauan Riau Johor dijangka akan cepat mendapat kesan positif kemakmuran ekonomi.

Johor perlukan kestabilan, untuk tujuan tersebut Johor perlukan dua pertiga kerusi di DUN bagi menambah yakin pelabur palabur yang bakal masuk kerana kestabilan akan meyakinkan mereka melabur.

Kestabilan jelas mampu membawa kemakmuran. Kestabilan adalah untuk masa depan. Kestabilan Johor adalah berpunca pada keputusan pada hari esok. Rakyat Johor ayuh bangkit rasional nilaikan apa yang telah dilakukan oleh parti-parti, apa isu-isu yang telah dibangkitkan berkait ke dengan Johor ini juga apa yang ditawarkan di sepanjang kempen.

BN ternyata teratur dan tersusun kerana BN wujud daripada rakyat untuk rakyat tidak seperti parti-parti yang lain jadi BN lah yang terbaik buat rakyat Johor.

Esok pastikan ya seluruh rakyat Johor undi BN untuk kestabilan masa depan. Undi BN bermakna juga undi untuk membolehkan YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad diangkat semula sebagai Menteri Besar Johor selepas PRN esok. – UMNO ONLINE

Norman Sapar
Pemerhati Politik
11 Mac 2022

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.