PRN Johor: Apa Kata Pengundi, Apa Harapan Mereka Untuk Johor

MUAR, 11 Mac – Esok merupakan hari pengundian bagi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bakal menyaksikan pertembungan beberapa buah parti politik yang berdaftar termasuklah Barisan Nasional (BN) di 56 DUN seluruh Johor.

BN yang bertanding di semua kawasan meletakkan calon BN DUN Benut, Datuk Hasni Mohammad sebagai calon Menteri Besar jika parti itu diberikan mandat membentuk kerajaan negeri esok, Sabtu dan lima teras tawaran Ikhtiar BN Johor dilontarkan untuk rakyat negeri tersebut membuat pilihan yang terbaik dalam usaha mewujudkan sebuah kestabilan masa depan.

Tinjauan UMNO-Online di beberapa DUN sekitar Muar, Ledang, Bakri, Segamat, Sekijang dan Labis  serta Pagoh mendapati suasana seperti biasa cuma ada beberapa kawasan yang boleh dikatakan ‘havoc’ perang bendera antara parti-parti yang bertanding.

Manakala jentera parti menggunakan pelbagai medium termasuklah BN sendiri yang menggunakan trak bergerak di setiap DUN dalam usaha mempromosi calon-calon yang bertanding.

Cuma apakah yang akan menjadi pertimbangan buat pengundi, apakah yang akan mereka pilih sama ada sebuah kestabilan atau memilih parti yang tiada tawaran menarik dan realistik untuk rakyat Johor.

Bagi seorang penduduk di Kg Jalan Jorak, Zulkafli Abu Naim, 51 pemilihan calon BN yang meletakkan anak tempatan dan dikenali memberi kelebihan kepada pengundi setempat untuk memilih parti berkenaan.

Menurut beliau mereka yang sering berada di kawasan adalah seorang pemimpin yang perlu dijadikan wakil rakyat dan itulah yang BN lakukan sepertimana di DUN Bukit Pasir.

“Alhamdulillah Mohamad Fazli Mohammad Salleh atau dikenali Fazli sebagai anak tempatan di sini. Bersekolah di sini daripada awal dan meneruskan pengajian ke universiti dan kembali berkhidmat di sini. Buka pusat tuisyen dan sentiasa ada di kawasan. Ini membolehkan kita senang untuk mengadu dan sebagainya.

“Tidak perlu kita tercari-cari. Menjadi kelebihan kepada masyarakat di Bukit Pasir ini. Tambahan pula calonnya muda dan cergas. Beliau pun janji akan berkhidmat dengan sebaiknya. Inilah satu peluang keemasan yang kita rebut dengan mengundi BN,” ujarnya.

Sementara itu Ramli Abd Razak daripada Taman Sri Jorak pula melihat parti juga memainkan peranan penting kerana yang akan menggerakkan sesebuah kerajaan adalah parti yang memenangi pilihan raya.

“Bagi saya kita kena pilih sebuah parti yang stabil yang menjanjikan tawaran menarik untuk rakyat. Bukan setakat janji malah merealisasikan apa yang dijanjikan dan inilah yang kita mahu. Bukan hanya sekadar berjanji semata-mata.

“Saya yakin dengan BN dan ianya sebuah parti yang boleh dipercayai. Saya adalah bekas tentera dan masih lagi berpegang kepada BN…jatuh bangun BN saya masih berdiri di belakang. Saya tidak akan bergerak daripada bendera biru ini,” tambahnya.

Sementara itu anak muda di DUN Simpang Jeram dalam Parlimen Bakri ketika ditemui menyifatkan BN sebuah parti yang bukan sahaja peka dan prihatin kepada orang muda malah kepada semua golongan pelbagai lapisan masyarakat.

“Saya sendiri sanggup menjadi sebahagian daripada jentera BN di DUN Simpang Jeram ini dan amat berharap parti ini diberikan mandat dan kejayaan pada Sabtu nanti.

“Malah di DUN Simpang Jeram ini, Datuk Lokman Md Don adalah seorang pemimpin yang dekat dengan anak muda. Sebab itu kami tawarkan khidmat kami di sini untuk sama-sama melihat BN kembali di kawasan ini,” ujarnya.

Bagi Farahwahida Ismail, 35 dari Pekan Bakri turut melihat BN lebih diyakini apatah lagi dengan iltizam Datuk Hasni Mohammad selaku bakal Menteri Besar untuk melaksanakan apa yang ditawarkan oleh BN Johor.

Berbanding dengan parti-parti lain katanya yang masih lagi terkial-kial dan masih belum mencapai kata sepakat siapakah calon sebenar sebagai menteri besar negeri berkenaan.

“Saya pun bukanlah orang politik namun bagi kita sebagai rakyat biasa itu pun sudah menggambarkan bagaimana yakinnya BN untuk berkhidmat di Johor ini. Tawaran dah ada…nama menteri besar dah ada. Bukankah ini menampakkan BN sudah ‘ready’ untuk melaksanakan tanggungjawab sekiranya diberikan peluang oleh pengundi.

“Apa yang nak buat sudah jelas cuma hanya tunggu kepercayaan daripada rakyat Johor sahaja iaitu membentuk sebuah kerajaan negeri. Jadi kepada pengundi janganlah sia-siakan peluang yang ada ini. Kita pilih sebuah parti yang nampak bersungguh-sungguh untuk berkhidmat. Kita berikan ruang untuk lima tahun kepada BN,” tambahnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.