Pengundi Yong Peng Yakin Kebolehan Ah Soon

YONG PENG, 11 Mac – Hanya tinggal beberapa jam saja untuk jentera Barisan Nasional (BN) berkempen agar rakyat Johor terus mengundi BN, kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Menurutnya, pengundi di sini sudah lama mengenali calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng, Ling Tian Soon yang mudah mesra kepada pengundi.
“Kempen untuk calon BN DUN Yong Peng, Ling Tian Soon atau lebih dikenali sebagai Ah Soon kini sudah nampak ada responnya serta calon-calon lain dalam Parlimen Ayer Hitam dan juga Parlimen-parlimen lain namun kempen BN cukup sihat dan banyak mesej-mesej positif tapi hujung-hujung ini terasa panas pula.

“Semuanya agak positif tapi tidak boleh dinafikan ada kesannya apabila ada orang mengatakan bermacam-macam terhadap parti UMNO/BN.

“Apa yang dilihat dari parti lawan selama 14 hari ini adalah cerminan kepada politik BN sejak kebelakangan ini. Apabila dapat kuasa dan mandat dari rakyat… dia gunakan mandat itu bukannya hendak bantu rakyat, mensejahterakan rakyat serta menunaikan janji-janjinya tapi tidak langsung, sibuk dengan politik kebencian, menyerang BN sehingga cuba meletakkan seolah-olah zaman BN/UMNO sudah berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ladang Chaah.

Turut hadir Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Air Hitam, Joni Muhammad Yahya bersama jentera BN.

Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berharap agar pengundi akan buktikan pada esok bahawa segala telahan dan andaian mereka amat tersasar.
“BN/UMNO kuat bukan kerana individunya… tidak. BN kuat dari segi jenteranya dan akhirnya yang menjadi penentu dalam sistem demokrasi adalah rakyat. Rakyat sendiri yang hendak sokong BN. BN/UMNO berterima kasih pada jentera dan akar umbi. BN menang bukan sebab undi kita saja dan tetapi yang mahukan BN menang adalah pengundi yang menyokong kemakmuran yang dicapai semasa pemerintahan BN yang lalu.

“Orang atas pagar, anak-anak muda yang terpengaruh dengan dakyah parti lawan pada PRU (Pilihan Raya Umum) lalu tidak menyokong BN tetapi menyokong PH (Pakatan Harapan) tetapi kebangkitan BN disebabkan rakyat sudah melihat dan dahagakan kestabilan yang boleh dibawa oleh BN.

“Terangkan kepada pengundi PRN ini bukannya gila kuasa dan bukan soal kuasa yang lain tapi ingin kembalikan negeri Johor iaitu satu parti yang memimpin, dengan ikhtiar dan perancangan yang jelas demi Bangsa Johor,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.