Pengundi Letak Harapan Tinggi Kepada BN Yang Boleh Stabilkan Johor

MACHAP, 11 Mac – Pecutan terakhir Barisan Nasional (BN) sebelum hari mengundi ini menampakkan pengundi-pengundi masyarakat cina semakin meningkat berbanding masa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menurutnya, mereka mahu melihat negeri Johor ini terus kuat dan stabil dalam pentadbiran serta politik negara.

“Pengundi juga mengharapkan kerajaan Persekutuan juga mempunyai pentadbiran politik yang lebih stabil daripada sekarang ini. Pengundi di sini sudah meletakkan satu harapan yang sangat tinggi kepada parti teras iaitu BN.
“Masyarakat Cina sudah kembali yakin pada BN dan di kalangan pengundi-pengundi menyuarakan calon-calon dikemukakan oleh BN ini mempunyai kewibawaan, pengalaman dan penampilan yang menyakinkan untuk meneruskan pembelaan serta pentadbiran bagi semua kaum yang berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap ini dan kawasan-kawasan yang lain yang ada di negeri Johor.

“Saya harap keyakinan pengundi adalah keyakinan yang berterusan dan dapat menterjemahkan di dalam kertas undi pada hari mengundi,” katanya ketika ditemui oleh UMNO Online, pada majlis santai bersama pengundi Cina di kedai kopitiam Yee Yee, Taman Parti Haji Hashim, Machap, di sini.

Turut hadir calon BN bagi DUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi. 

Dalam pada itu beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu merasa yakin di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Hasni Mohmamad dapat menterjemahkan ‘Ikhtiar BN Johor’ apabila diberi mandat oleh rakyat.
“Saya yakin di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad boleh melakukan dan menterjemahkan ‘aku janji’ yang telah dikemukakan di dalam ‘Ikhtiar BN’ ini dan berharap pengundi di DUN Machap dan seluruh negeri Johor memberikan mandat pada BN, insya-Allah.

“Kalau dilihat ‘Ikhtiar BN’ ini merangkumi kesejahteraan, ekonomi, pendidikan dan budaya. Kesemua telah diambil kira oleh BN yang mementingkan pembelaan kesemua kaum merangkumi semua aspek. Paling penting negeri dan negara mesti stabil,” jelasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.