Pecutan Kempen Saat Akhir Ismail Terus Jadi Pusat Luahan Masyarakat

PAGOH, 11 Mac – Pecutan saat-saat akhir kempen calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memasuki fasa akhir hari ini dan tidak terkecuali calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Ismail Mohamad yang melakukan ‘walkabout’ di beberapa kawasan termasuklah petang tadi di Pekan Kg Teratai, di sini.

UMNO-Online yang turut berkesempatan bersama-sama dalam ‘walkabout’ berkenaan dapat melihat dengan jelas bagaimana masyarakat setempat menerima kehadiran calon yang diketengahkan BN untuk DUN berkenaan.

Ismail ketika ditemui berkata ‘walkabout’ sejak hari pertama kempen sehinggalah saat-saat akhir hari ini menjadi medan penduduk meluahkan pelbagai permasalahan dan juga pelbagai rungutan lain.

“Alhamdulillah…saya lihat perkembangan amat positif dan tadi ke Kg Baru dan di Pekan Kg Teratai nampaknya sambutan amat menggalakkan. Apabila saya berkunjung ke rumah mereka, masing-masing menerima kehadiran kami dengan baik dan saya penuh yakinlah sokongan terhadap BN akan terus meningkat.

“Mereka rata-rata mengharapkan pembaharuan dibawa oleh BN dan antara isu yang dibangkitkan di sini adalah isu kenaikan harga baja, racun dan sebagainya lagi. Ini kerana kedua-dua tempat ini adalah kawasan pertanian dan itu yang mereka ketengahkan.

“Kalau dulu masa BN memerintah jika barang barang seperti racun dan baja naik kita mewujudkan harga kawalan. Sepatutnya guna akta yang sesuai untuk kawal barang barang pertanian. Kita simpati dengan petani yang melibatkan semua kaum di sini,” katanya.

Ismail seterusnya menambah permasalahan serta rungutan yang ditimbulkan oleh masyarakat akan diberi perhatian sewajarnya sekiranya diberi mandat esok.

“Insya-Allah…harapan saya apabila BN menang dan membentuk kerajaan negeri, ini antara yang akan kita bawa kerana permasalahan masyarakat setempat perlu diselesaikan sebaik mungkin,” tambahnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.