MIC Tekad Kerja Keras Untuk Sumbang Empat Kerusi DUN Kepada BN

KLUANG, 11 Mac – MIC perlu memenangi semua empat kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bagi membantu Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri yang stabil sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan parti kaum India itu.

Pengerusi MIC Johor R. Vidyananthan berkata mengekalkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimilikinya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan merebut dua kerusi DUN baharu yang diberi peluang untuk bertanding pada PRN Johor adalah mustahak buat parti itu.

“Peranan MIC sebagai parti komponen dalam BN sangat penting. Apabila kita diberi empat kerusi, maka MIC perlu sumbangkan keempat-empat kerusi itu kepada BN untuk menubuhkan kerajaan negeri. Saya percaya tiada alternatif lain selain menang empat kerusi DUN ini untuk BN,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama.

MIC bertanding di DUN Kahang, Tenggaroh, Bukit Batu dan Kemelah atas tiket BN pada PRN Johor Sabtu ini. Pada PRU 14, parti itu menang di DUN Tenggaroh dan Kahang manakala tewas di DUN Gambir dan Skudai.

Vidyanathan yang juga calon BN bagi kerusi DUN Kahang berkata persediaan parti berusia 76 tahun itu bagi PRN Johor telah dimulakan lebih awal, justeru beliau yakin MIC mampu meraih sokongan pengundi di keempat-empat DUN yang ditandingi kerana calon BN juga mewakili semua kaum.

Dalam perebutan kerusi Kahang, Vidyananthan dicabar oleh Daud Yusof mewakili Perikatan Nasional (PN), Rohani Banu Abd Rahman Krishnan daripada Pakatan Harapan (PH) dan Rosdi Amir mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Tenggaroh K. Raven Kumar yang bertanding mempertahankan kerusi itu berkata MIC harus menyumbangkan kemenangan di DUN berkenaan buat BN bagi menjamin kestabilan politik dan masa depan Johor.

Ketua Pemuda MIC Kebangsaan itu menyifatkan undi anak muda sebagai penghormatan kepada golongan belia untuk menentukan masa depan negara, di mana undi mereka juga penting bagi MIC dan BN dalam PRN Johor agar dapat mengembalikan kemakmuran negeri itu.

Raven akan dicabar Roslan Nikmat daripada Perikatan Nasional (PN), Zulinah A Johari (PH) dan Mohd Firdaus Abd Rahman (Pejuang) pada PRN kali ini.

Bagi calon BN DUN Kemelah N. Saraswati, kemenangan di DUN berkenaan amat signifikan buat MIC kerana boleh membawa suara wanita ke peringkat negeri dan berjuang untuk golongan hawa.

Dengan berbekalkan pengalaman berkhidmat selama 33 tahun dalam MIC, beliau yang juga Ketua Wanita MIC Negeri Johor yakin mampu meraih sokongan daripada pengundi kawasan berkenaan tanpa mengira agama dan kaum.

DUN Kemelah menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan Normala Sudirman (PN), Dr Sulaiman Mohd Noh (PKR) dan Noriza Sahardin (Pejuang)

MIC juga mempertaruhkan S.Suppayah atas tiket BN dalam persaingan empat penjuru di DUN Bukit Batu membabitkan Lee Ming Wen dari Parti Warisan (Warisan), Tan Heng Choon (PN) dan Arthur Chiong Sen Sern (PKR). – BERNAMA