Kembalikan Kegemilangan Johor, Beri Peluang BN Peroleh Mandat – Mohd Jafni

KULAI, 11 Mac – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berharap pengundi dapat memberikan peluang pada Barisan Nasional (BN) untuk memperolehi mandat sepenuhnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, ini kerana BN merupakan sebuah parti yang berpengalaman dalam setiap perancangan terutama membuat keputusan besar termasuk pemilihan calon menteri besar bagi negeri ini.

“Kita bukan seperti parti lain yang lemah maksudnya mereka tidak sepakat untuk menamakan calon menteri besar yang berwibawa.

“Kita di peringkat BN sudah tetap daripada awal iaitu Datuk Seri Hasni Mohammad sudah dua tahun mentadbir telah membuktikan dari segi pengalaman, kebijaksanaan, idea, prihatin tokoh ini untuk membawa Johor ini ke era yang gelap ke lebih terang.

“Melihat kepada keadaan ini saya percaya rakyat mesti beri peluang kepada BN untuk memperoleh dua pertiga supaya lima tahun ke hadapan Johor ini akan jauh lebih baik daripada yang ada sekarang,” katanya.

Mengulas berkenaan perjalanan kempen, Mohd Jafni yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kulai berkata beliau menerima pelbagai respon daripada pengundi ketika melakukan sesi pertemuan bersama mereka.

Menurut beliau, antaranya luahan daripada mereka yang kesal dengan situasi semasa politik negara malah ada juga yang mengakui rindu pada pentadbiran BN seperti sebelum ini.

“Mereka rindukan zaman BN yang dahulu bukan yang sekarang Perikatan Nasional (PN) dan PH (Pakatan Harapan)… mereka rindu seorang wakil rakyat yang dekat dengan rakyat di akar umbi itu yang banyak disuarakan mereka.

“Sebenarnya saya tengok ramai juga pengundi yang kecewa dengan keadaan politik hari ini, saya bertemu mereka beritahu tentang PRN ini penting supaya berikan mandat kepada BN untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik berbanding pentadbiran sebelum ini.

“Ada juga yang pesan kalau sudah menang nanti jangan tak datang pula bertemu rakyat sebab wakil rakyat yang sukar untuk jumpa ada setahun sekali nampak muka mereka taknak perkara itu jadi lagi,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit