Jangan Terpedaya Dakyah, Provokasi Melampau Sebar Berita Palsu

JOHOR BAHRU, 11 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas provokasi melampau yang menyebarkan berita palsu kononnya dari Presiden UMNO.

Katanya, menjelang beberapa jam lagi proses membuang undi bagi PRN Johor, UMNO terus menerima provokasi apabila tersebar kenyataan palsu sebagai satu cubaan memburukkan parti.

“Kenyataan media palsu tersebut menyatakan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Kepimpinan Tertinggi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang bermesyuarat pada semalam, 10 Mac 2022 (Khamis) memutuskan empat perkara.

“Hakikatnya semua yang dinyatakan dalam kenyataan itu adalah palsu sama sekali,” katanya menerusi kenyataan media dalam laman facebooknya hari ini.

Terdahulu beliau memaklumkan kandungan antara kandungan berita palsu terbabit ialah:

Pertama, UMNO yakin akan mendapat mandat pada PRN Johor kali ini dengan sekurang-kurangnya mendapat 32 kerusi DUN Johor dengan pecahan 25 kerusi DUN dari UMNO, 3 dari MIC dan 4 dari MCA, seterusnya menubuhkan kerajaan UMNO/BN untuk negeri Johor.

Kedua, UMNO juga bersetuju untuk menanggung perbelanjaan pulang anak-anak muda negeri Johor yang pulang mengundi pada PRN Johor kali ini dengan mengemukakan bukti resit pembelian tiket kepada wakil-wakil calon BN di kawasan masing-masing.

Ketiga, mengambil kira pandangan akar umbi UMNO Negeri Johor mengenai calon Menteri Besar iaitu Datuk Hasni Mohamad sebagai calon tunggal UMNO menerima lagi cadangan daripada UMNO Johor itu menamakan Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi sebagai calon lain.

Keempat, kenyataan berkenaan turut menyebut selaku Presiden Parti UMNO dan juga Pengerusi Barisan Nasional akan memperhalusi cadangan tersebut dan siapa yang layak menjawat jawatan Menteri Besar Johor akan diputuskan selepas tamatnya PRN Johor BN dan mendapat mandat dari rakyat Johor.

Selaras itu, Zahid menegaskan, seharusnya pengundi di Johor tidak percaya dan terpedaya dengan dakyah palsu ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.