Ahmad Zahid Bidas Kempen Golongan Pelampau Politik Terdesak, Pilih BN Kembalikan Kestabilan

JOHOR BAHRU, 11 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas kempen golongan pelampau politik yang sanggup melakukan apa sahaja apatah dalam keadaan yang terdesak.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian ekoran ‘bunting’ yang memaparkan gambar beliau bertulis salah guna duit anak yatim dan ibu tunggal dalam kempen saat akhir menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung esok.
“BN mengetengahkan tawaran mengembalikan kestabilan, kemakmuran, kemajuan, kesejahteraan kepada Johor.

“Mereka terus menyemai politik kebencian dengan melakukan serangan-serangan peribadi terhadap pemimpin BN. Daripada siri ceramah, perbahasan di Dewan Rakyat sehingga memasang sepanduk-sepanduk yang tiada kaitan dengan PRN,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya.

Hakikatnya kata Ahmad Zahid, pendakwaan mahkamah yang mereka kenakan terhadapnya dan pemimpin BN tiada kaitan dengan PRN Johor.

“Barangkali ini sahaja senjata kempen mereka miliki selepas menyedari majoriti rakyat sudah tahu tentang penipuan mereka.

“Saksikan pendakwaan terpilih yang mereka kenakan terhadap saya dan pemimpin BN kami harungi dengan penuh ketabahan.

“Kami tahu inilah harga perlu kami bayar demi memastikan BN tidak sesekali “inalilahi wainalilahi rojiun” seperti mereka hasratkan. Kami tahu inilah pengorbanan demi memastikan UMNO tidak ‘dihijack’. Mereka telah lama merancang, tetapi kami tidak lalai.”

Begitu juga tegasnya, pihaknya tidak boleh menjawab secara terperinci mengenai kes kepada umum kerana itu dianggap ‘contempt of court’ berbanding golongan terdesak itu pula sewenang-wenangnya menggunakan pendakwaan terpilih yang mereka kenakan terhadap lawan politik sebagai bahan kempen.

“Kami diprovokasi untuk berlawan dengan tangan diikat itulah sifat pelampau politik licik dan penuh dengan tipu daya,” bidasnya.

Walaubagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berpandangan rakyat Johor sudah jemu, muak dan serik dengan permainan politik seperti itu.

“Apatah lagi selepas mereka menyaksikan ekonomi dan segala yang baik di Malaysia musnah sesudah PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14).

“Tarikh 12 Mac masa untuk Bangsa Johor tebus kesilapan lalu dan menghukum pelampau parti politik yang pernah memperdaya mereka,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.