Youzaimi Yakin Sokongan Rakyat Endau Dan Tenggaroh Tetap Pilih BN

MERSING, 10 Mac – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Barisan Nasional (BN) Endau, Youzaimi Mohd Yusof optimis sokongan rakyat kepada parti ini mengambil kira faktor penerimaan mereka pada BN.

Katanya, parti lain diyakini tidak mampu untuk menang memandangkan rekod pada pilihan raya lepas juga menunjukkan bahawa BN menyapu bersih kerusi Parlimen Mersing termasuk DUN Endau dan Tenggaroh pada pilihan raya sebelum ini.

“Belum pernah pengundi terutama di Parlimen ini akan memilih parti lain kerana trek rekod kami di sini dari segi kebajikan, pembangunan yang lepas seperti mana yang telah dijanjikan pucuk pimpinan dapat dilaksanakan.

“Mengambil kira juga pengalaman 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan 17 bulan Perikatan Nasional (PN) yang sudah tentu gagal saya rasa pengundi dah serik.

“Saya rasa rakyat tidak kira pengundi baharu atau lama telah menolak dengan apa yang telah berlaku pada pentadbiran kedua-dua parti ini,” katanya ketika ditemui ketika melakukan walkabout di Jalan Kampung Hubong, Endau di sini.

Sementara itu, Youzaimi yang Ketua UMNO Bahagian Mersing turut memaklumkan bagi menghadapi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini beliau mengambil pendekatan untuk mendekati seramai mana pengundi di Endau bagi menyatakan hasrat pembangunan di kawasan ini.

“Kita telah pergi ke pusat daerah mengundi, turun ke lokaliti Alhamdulillah penerimaan apabila kita berjumpa dengan pengundi di Endau.

“Mereka bukan sahaja menyatakan sokongan kepada BN tetapi berdoa supaya negeri Johor memperoleh kemenangan majoriti lebih daripada dua pertiga dan dapat mentadbir kerajaan BN di bawah kepimpinan calon Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohamad,” ujar beliau.

Youzaimi pada PRN ini akan berhadapan dengan lima penjuru termasuk penyandang kerusi tersebut yang sebelum ini mewakili UMNO, Alwiyah Talib dari PN.

Tiga lagi calon turut bertanding di kerusi tersebut ialah Mohamad Fakrulradzi Mahmud mewakili PH, Mohd Noorhisyam Ibrahim (Pejuang) dan Ismail Don (Bebas). – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.