‘Top Gun’ BN Turun Ke Endau, Tambah Keyakinan Pengundi Pilih Mohd Youzaimi

MERSING, 10 Mac – Kehadiran pemimpin utama (top gun) Barisan Nasional (BN) yang membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau dilihat berjaya menambat hati dan memberi lebih keyakinan kepada pengundi untuk memilih calon BN, sebagai wakil rakyat mereka.

Sejak penamaan calon pada 26 Feb lepas, Endau yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Bandar Mersing terus dikunjungi ramai pemimpin parti termasuk mereka yang bertaraf menteri.

Antara individu penting yang hadir untuk membantu kempen BN termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan serta bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN.
Selain itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO turut berada di Endau semalam.

Calon BN Mohd Youzaimi Yusof yang juga Ketua UMNO Bahagian Mersing menyifatkan kehadiran “muka-muka besar” parti untuk berkempen di Mersing, khususnya DUN Endau bukan sahaja sebagai tanggungjawab mereka, malah membantu jentera pilihan raya BN berkempen di kerusi DUN berkenaan.

“Mereka (pemimpin tertinggi) sangat membantu dan memang kita menjemput mereka datang dan melihat sendiri bagaimana kempen dan Alhamdulillah penerimaan pengundi Endau ini bila pemimpin tersebut antaranya Perdana Menteri sendiri, presiden, timbalan presiden, sangat diterima oleh pengundi.

“Sebelum ini kita pun dah yakin kawasan ini menyokong BN dan dengan kehadiran mereka menambahkan lagi nilai keyakinan pengundi di sini untuk terus menyokong BN sehingga hari pengundian kelak (Sabtu ini),” katanya kepada Bernama.

Ditanya mengenai peluang kemenangan BN di DUN Endau, Mohd Youzaimi yang pertama kali bertanding pada PRN Johor berkata masyarakat setempat telah mengenali UMNO dan BN sebagai parti yang banyak membantu rakyat.

Katanya masyarakat Endau masih mencari UMNO dan BN sekiranya memerlukan sebarang bantuan dan melaporkan permasalahan mereka.

“Saya calon baru, saya tak ada masalah dengan pengundi dan track rekod UMNO, BN. Masyarakat tahu kehadiran kami. Apa juga permasalahan mereka tak pergi kepada individu yang melompat (daripada UMNO kepada parti lain), mereka rujuk masalah kepada pemimpin UMNO, BN untuk dibantu,” katanya.

Endau mempunyai kira-kira 27,000 pengundi termasuk 9,000 pengundi baharu dengan populasi penduduk yang majmuk.

Pada PRN Johor ke-15 ini, Mohd Youzaimi berdepan saingan lima penjuru melibatkan penyandang Alwiyah Talib daripada Perikatan Nasional, Mohammad Fakrulradzi Mahmud mewakili Pakatan Harapan, Mohd Noorhisyam Ibrahim daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan calon Bebas Ismail Don.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.