Rakyat Luah Rindu Zaman BN Hidup Makmur Dan Harmoni – Ramlee

PULAI, 10 Mac – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani memaklumkan pengundi meluahkan kerinduan untuk berada dalam suasana harmoni seperti yang dialami sebelum ini ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Katanya, malah mereka meletakkan harapan untuk parti ini kembali mentadbir negeri bagi mengembalikan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Sebab itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini kita meletakkan kestabilan itu perkara yang paling utama di mana jika kita tidak memperolehinya banyak perkara tidak boleh dilakukan.

“Sebab itu bila dalam tinjauan, BN adalah harapan kerana mereka mahu melihat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara khusus di Johor ini terjamin semula agar kita dapat hidup dalam masyarakat majmuk seterusnya memajukan negara.

“Pengundi sudah matang dengan apa yang berlaku dalam tempoh beberapa bulan dan mereka boleh membuat perbandingan antara pentadbiran BN di mana kita dapat mentadbir negeri ini dengan aman harmoni dan maju,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu, Ramlee yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata perjalanan kempen beliau berjalan lancar dengan fokus utama adalah berjumpa dengan rakyat seramai mungkin dalam menyampaikan aspirasi pembangunan kepada kawasan ini.

“Sepanjang beberapa hari saya mengadakan walkabout di kawasan Kempas ini nampak reaksi yang positif daripada yang saya temui mudah-mudahan ia akan dijelmakan dengan sokongan kepada BN.

“Kalau kita lihat pada Pilihan Raya Umum ke-14 suasana agak lain tetapi kali ini akan memberi kesan yang positif,” katanya.

Serta turut disertai tiga calon iaitu Mohd Azwan Abd Rahman, Hambali Munadi dan Mohd Suhimi A Rahman.

Untuk rekod pilihan raya ini diadakan selepas kematian Osman pada 21 Disember lalu ianya sekaligus menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.