Pengundi DUN Tenang Berpeluang Jayakan Kestabilan Untuk Johor – Ahmad Maslan

LABIS, 10 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap pengundi di kawasan Tenang akan memberikan kepercayaan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit, Haslinda Salleh sebagai salah satu kawasan yang akan membolehkan pembentukan sebuah kerajaan negeri 12 Mac nanti.

Ini kerana jelas beliau sepertimana yang ditekankan sebelum ini kestabilan adalah paksi kepada segala-galanya dan inilah peluang untuk pengundi DUN Tenang melakukannya bersama BN.


“Sebab DUN Johor seri perlu adakan Pilihan Raya Negeri (PRN). Macam mana nak memerintah…. tidak pernah wujud perkara ini sebelum ini dan apa pun sekali lagi ditekankan PRN bukan untuk menyusahkan rakyat. Kita mahu mencari mandat semula dengan menyerahkan kembali kepada pengundi 12 Mac ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah dalam siri kempen PRN Johor di Bilik Gerakan Paya Merah, DUN Labis, di sini Rabu malam.

Beliau seterusnya mengajak pengundi agar sama-sama mengembalikan kegemilangan Johor sebagai salah satu negeri yang menjadi tumpuan pelabur.


“Sebelum ini Johor ini nombor satu dalam pelaburan FDI iaitu pelaburan langsung asing dan begitu juga pelaburan langsung domestik. Zaman BN bagus..zaman mereka pula jatuh..untuk kebangkitan semula kita perlu berikan lima tahun kepada Datuk Hasni Mohammad dan DUN Tenang diharap dapat menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri nanti,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Labis, Mohd Azhar Mohamad yang sepentas bersama Ahmad Maslan menambah pengundi perlu menggunakan tarikh pada 12 Mac ini sebaik mungkin untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.

Katanya dengan kemenangan BN nanti, segala apa yang ditawarkan dapat direalisasikan sekaligus melahirkan kestabilan untuk masa depan yang lebih terjamin.

“Insya-Allah Hjh Haslinda daripada DUN Tenang akan menyumbang satu kerusi. Kita akan cuba berusaha sedaya upaya. kita tidak mahu terpalit lagi dengan kestabilan..Johor jatuh menjunam ekoran ketidakstabilan yang menyebabkan pelabur angkat kaki. Kestabilan untuk masa depan kita sama-sama jayakan,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.