Parti Politik Buat Pecutan Terakhir Kempen Sebelum Bangsa Johor Memilih

JOHOR BAHRU, 10 Mac – Berbaki kurang 48 jam sebelum tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melabuhkan tirainya, calon-calon dan jentera-jentera parti melakukan pecutan terakhir dalam kempen untuk bertemu seberapa ramai pengundi sebelum bangsa Johor memilih wakil rakyat masing-masing.

Kempen saat-saat akhir pemimpin parti-parti politik, calon serta jentera menyaksikan mereka giat melakukan program tinjauan mesra, ceramah umum, serta ramah mesra dengan rakyat dari utara hingga ke timur Johor, bermula dari awal pagi sehingga lewat malam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini membenarkan aktiviti ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dijalankan hingga 12 tengah malam selain ziarah rumah ke rumah.


Seramai 239 calon daripada 15 parti termasuk 16 calon Bebas akan bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor, Sabtu ini.

“Gelombang biru” mendominasi dalam mewarnai kempen PRN Johor melibatkan parti-parti yang menggunakan logo biru iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan parti komponen Pakatan Harapan (PH)-PKR yang menggunakan logo sendiri.

Penganalisis politik Dr Che Hamdan Che Mohd Razali berkata jentera parti akan digembleng untuk mempergiat kempen rumah ke rumah bagi memastikan pengundi khususnya ahli dan pengundi setia parti masing-masing, keluar mengundi dan kekal memilih mereka.

“Ini penting sekiranya peratusan keluar mengundi rendah akibat pengundi luar tidak balik dan keputusan akan memihak kepada penguasaan parti setempat,” katanya.

Bagi lebih 700,000 pengundi baharu terutama yang pertama kali mengundi, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata usaha perlu dipergiatkan bagi menarik sokongan mereka kerana golongan tersebut mampu membuat dan menukar pilihan pada saat-saat akhir.

Mengenai parti yang berada di garisan hadapan pada PRN itu, Che Hamdan berpendapat BN mempunyai kelebihan berdasarkan gerakan dan mobilasi jentera mereka dengan pimpinan peringkat pusat dan setiap negeri turun berkempen membantu calon.

“Kedudukan mereka sebagai kerajaan di peringkat pusat dan juga negeri memberi kelebihan pada pilihan raya negeri ini,” katanya.

Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi pada Sabtu ini.

Sebanyak 1,021 pusat mengundi biasa yang mengandungi 4,638 tempat mengundi atau saluran telah ditetapkan seluruh Johor.

Seramai 49,290 petugas akan terlibat mengendalikan proses PRN Johor.

SPR telah menyasarkan 70 peratus pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada Sabtu ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.