Manfaatkan Baki Tempoh Berkempen Semaksimum Mungkin – Norshida

SEGAMAT, 10 Mac – Ketua Penerangan Wanita UMNO Datuk Norshida Ibrahim berharap baki kempen yang ada digunakan semaksimum mungkin oleh jentera Wanita Barisan Nasional (BN) dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.

Menurut beliau pecutan saat-saat akhir cukup penting namun pada masa yang sama perlulah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkaitan dalam usaha menangani penularan COVID-19.

“Kempen PRN Johor sekarang ini telah memasuki fasa terakhir sebelum Sabtu ini bagi meyakinkan pengundi-pengundi negeri Johor bagi memilih calon mereka yang benar-benar mampu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

“BN dilihat berada di landasan yang tepat dan diyakini akan menepati ramalan dengan memenangi lebih daripada 28 kerusi di Johor daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.
“Walaubagaimanapun, kita perlu ingat bahawa tinggal baki sehari sahaja lagi dan perlu memastikan jentera terus mendekati seramai mungkin pengundi di setiap pelosok negeri Johor tanpa segan silu supaya kita dapat mandat yang penuh daripada rakyat negeri Johor untuk menjadi kerajaan negeri yang stabil dan kuat,” katanya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan bersama jentera Wanita BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kg. Awat di sini selain turut mengadakan ziarah kasih.

Dalam pada itu beliau melihat gerak kerja Wanita cukup positif serta dilihat penuh semangat dan masing-masing terus berkempen secara berhemah.

“Cara gerak kerja lebih positif dan mereka berkempen secara sihat bagi memikat hati pengundi di setiap PDM. Kempen kita perlu memperhalusi isu-isu tempatan bagi ditangani sepenuhnya dengan rancangan yang kita bawa menerusi lima teras Ikhtiar BN Johor juga perlu diperluaskan kepada seluruh pengundi Johor agar mereka benar-benar yakin terhadap BN.

“Insya-Allah berkat usaha kita bersama, kita mampu menang majoriti dan menubuhkan Kerajaan Johor yang berwibawa untuk memacu Negeri Johor yang tercinta.” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.