Kurang Kesedaran Politik Islam: UMNO Johor Tolak Dakyah Pas, Gesa Hadi Mohon Maaf

JOHOR BAHRU, 10 Mac – UMNO Johor menolak dakyah yang mengatakan bangsa Johor kurang kesedaran politik Islam sebagaimana yang dinyatakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Pengerusi Veteran UMNO Johor, Datuk Othman Jais menegaskan bahawa Abdul Hadi Awang perlu merujuk kepada rakan sekutunya iaitu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebelum mengeluarkan kenyataan mengenai pemahaman politik Islam dalam kalangan penduduk di negeri Johor.

“Kalau Tan Sri Muhyiddin terlupa ataupun tidak ingat boleh merujuk kepada mantan Exco agama yang lepas Tosrin Jarvanthi apa yang kerajaan negeri sudah buat.

“Kalau dilihat soal pendidikan dan budaya kita berani mengatakan anak-anak Johor dan bangsa Johor ini boleh menulis Jawi berbanding tempat lain.

“Kalau kata Johor ini tidak mengamal cara Islam, kita tak dapat terima. Kita boleh buktikan banyak masjid, surau dan sekolah agama dibina,” katanya dalam sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi menerusi laporan akhbar berkata Pas tidak mampu menawan hati penduduk di Johor kerana mereka kurang kesedaran mengenai politik Islam.

Sehubungan itu, Othman menggesa Abdul Hadi agar memohon maaf kepada umat Islam berikutan tuduhan itu.

“Kita sebagai orang Islam kalau sudah buat salah mesti mohon maaf. Kalau tidak mohon maaf menunjukkan kita ini bongkak.

“Tak wajar sebagai umat Islam kita tidak bermaaf-maafan antara satu sama lain. Jangan kerana perbezaan politik kita mengorbankan budaya kita sebagai umat Islam. Sekiranya kepimpinan Pas menunjukkan tauladan yang elok sudah pasti masyarakat akan mengikuti parti itu.”

Namun malangnya, kata Othman Pas tidak memberikan contoh yang baik untuk diikuti oleh rakyat Johor malah menegaskan agar Abdul Hadi supaya tidak mencampurkan politik dengan agama.

“Pas menggunakan Islam. Sebagai orang politik kita tidak patut gunakan Islam. Kalau kita ingat amanat Haji Hadi berkahwin antara antara satu sama lain, nikah tidak sah, wujud dua imam, keluarga bercerai-berai kerana perbezaan politik

“Ini tak wajar. Patut sebagai orang Islam menunjukkan ajaran Islam yang sebenar bukan berpolitik sahaja,” katanya.
Bukan itu saja kata Othman, banyak negeri telah menjadikan Johor sebagai contoh dalam sistem pendidikan Islam sekaligus menunjukkan negeri itu paling hadapan dalam menjunjung ajaran Islam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.