Hanya BN Diyakini, Mampu Kembalikan Kestabilan Johor… PN/PH Terbukti Gagal – Zahida

JOHOR BAHRU, 10 Mac – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan menegaskan bahawa hanya Barisan Nasional (BN) yang diyakini dapat mengembalikan kestabilan Negeri Johor untuk kembali kepada landasan kegemilangan seperti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Katanya, PRN Johor ada matlamatnya iaitu untuk mewujudkan kerajaan yang benar-benar stabil kerana masa depan anak muda bergantung kepada kestabilan yang ada.

“Kerana kestabilanlah yang dapat menarik para pelabur, kestabilanlah yang akan menjadikan kita lebih dihormati dan ia juga akan membuka peluang-peluang pekerjaan selain perniagaan akan berjalan dengan baik,” katanya.

Terang beliau, terbukti apabila kerajaan BN bertukar kepada Pakatan Harapan (PH), pelbagai perkara yang tidak seharusnya dibuat telah dilaksana.

“Apabila PH ambil alih kerajaan, maka mereka batalkan beberapa projek termasuk HSR (kereta api berkelajuan tinggi) yang melalui beberapa kawasan di Johor misalnya, Iskandar Puteri, Batu Pahat dan Muar malah projek ini dianggap ‘game changer’ kepada negeri ini

“Kerajaan baru itu senang-senang batalkan apa yang kita dah rancang dan bayar pampasan. Satu dunia perhatikan kita dan menilai apa yang dilakukan dengan menganggap bahawa kerajaan Malaysia tak boleh dipercayai, janji tak boleh diguna, kerap tukar kerajaan yang akan bermakna tukar polisi, tukar dasar dan macam-macam lagi.

“Kalau berterusan akibat dasar-dasar yang tak menentu maka siapakah yang akan melabur dalam negara kita. Sejak kejatuhan BN pada PRU lalu maka banyaklah yang terkesan. Ekonomi merosot yang mengakibatkan hilang pekerjaan dan memberi kesan langsung kepada rakyat.”

Sehubungan itu beliau berharap agar rakyat akan terus menolak parti lain dan kembalikan BN sebagai kerajaan Negeri Johor.

Beliau berkata demikian menerusi Program Pentas Anak Muda PRN Johor yang disiarkan secara langsung malam tadi.

Turut bersama ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selain Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong dan Ketua Pemuda MIC Johor, Satheesh Rameswaran . – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.