Bukan Perkara Pelik Pemimpin BN Jadi Bahan Kempen Pihak Lawan – Haslinda

LABIS, 10 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan negeri (DUN) Tenang, Haslinda Saleh berharap pengundi di kawasan berkenaan agar berhati-hati dengan taktik pihak lawan yang cuba mengalih tumpuan sebenar pada baki kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau hari ini dapat dilihat bagaimana pihak lawan yang cuba menenggelamkan apa yang cuba dibawa oleh BN menerusi Ikhtiar BN Johor dengan menyerang kepimpinan peringkat pusat.

“Apabila keadaan ini berlaku kita boleh tahu dan lihat pihak lawan sudah kekurangan idea apabila tidak dapat menawarkan sesuatu yang baik seperti yang BN tawarkan menerusi Ikhtiar BN Johor.

“Apabila tidak ada cara bagaimana untuk menangkis segala kebaikan yang BN akan buat maka mereka cuba serang peribadi pemimpin kita yang ada sekarang,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau mengadakan walkabout merayu undi sekitar pekan Labis.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Labis seterusnya menambah perkara berkenaan bukanlah perkara pelik apatah lagi menjelang saat-saat akhir berkempen.

“Harap pengundi jangan tertipu segala dakyah pihak di sebelah lawan yang hanya bertujuan mengalih tumpuan kepada soal pokok yang diutarakan menerusi Ikhtiar BN Johor.

“Setelah tidak dapat tawarkan sesuatu yang baik dan hari ini seperti cacing kepanasan apabila tidak tahu bagaimana mereka nak memulakan sesuatu yang baik untuk rakyat Johor tetapi mereka cuba alihkan perhatian orang ramai terhadap apa yang berlaku pada hari ini.

“Jadi janganlah tertipu lagi dengan segala janji-janji. Berpeganglah dan yakinlah Ikhtiar BN Johor itulah yang akan kita pegang dan kotakan apabila kita diberi mandat nanti, insya-Allah. Untuk rakyat Johor,” ujarnya.

Ujar beliau lagi untuk pengundi DUN Tenang gunakan peluang pada 12 Mac ini sebaiknya untuk masa depan bersama.

“Seluruh pengundi DUN Tenang diharap agar jangan lupa membuat keputusan dengan mengundi BN untuk kestabilan masa depan. Masa depan kita dan anak-anak biarlah kita tentukan,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.